CBP Raih Detik Bersejarah: Wisma Baharu Dirasmikan Sempena 75 Tahun Penubuhan

Seiring dengan ulang tahun ke-75 penubuhannya, Co-opbank Pertama (CBP) terus mencipta sejarah apabila Wisma Co-opbank Pertama, ibu pejabat baharunya yang terletak di jantung ibu kota, dirasmikan hari ini oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Majlis perasmian bangunan setinggi 13 tingkat itu bukan sekadar simbol kepada kekukuhan CBP sebagai institusi kewangan koperasi, malah menjadi lambang kepada aspirasi masa depan bank tersebut untuk terus berkembang sebagai peneraju perbankan koperasi moden, mampan dan inklusif di Malaysia.

Terletak strategik di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Bharu, Wisma Co-opbank Pertama menjadi mercu tanda baharu bagi CBP dalam mengekalkan momentum pertumbuhan yang mampan sepanjang tujuh dekad lebih operasinya.

Menurut Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi, perasmian ini amat bermakna kerana menandakan satu lagi pencapaian besar dalam sejarah CBP yang bermula sejak penubuhannya. “Perjalanan selama 75 tahun ini bukan sesuatu yang mudah tanpa sokongan kerajaan, pengawal selia, anggota dan pelanggan CBP. Kami amat menghargai setiap sokongan yang diberikan,” katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau turut berkongsi bagaimana CBP telah berevolusi dari masa ke semasa. Bermula sebagai Co-opbank Persatuan, CBP memperoleh lesen penuh sebagai Co-opbank daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada September 2014, dan kemudiannya menukar nama kepada Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad pada tahun 2018.

Meneruskan momentum, CBP kini turut terlibat dalam pembiayaan pelbagai sektor termasuk pertanian dan pembangunan hartanah bagi manfaat lebih besar kepada anggotanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairul Anuar Mohammad Anuar, mengumumkan bahawa CBP telah mencatatkan keuntungan tertinggi dalam sejarahnya pada tahun 2024 dengan jumlah RM124.29 juta. Lebih membanggakan, CBP juga telah dianugerahkan gelaran Koperasi Premier Malaysia selama empat tahun berturut-turut sejak 2021.

Penubuhan Wisma Co-opbank Pertama ini menandakan permulaan era baharu bagi CBP dalam merealisasikan visinya untuk menjadi institusi kewangan koperasi yang progresif dan menyeluruh, sekaligus terus memberi impak positif kepada pembangunan sosioekonomi negara melalui gerakan koperasi.