Siapa sangka barisan penunggang motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson yang sering dilihat garang dan penuh karisma di atas jalan raya, sebenarnya memiliki sisi jiwa penyayang yang cukup menyentuh hati. Bersempena tayangan filem animasi hebat Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), kumpulan Harley Owners Group Kuala Lumpur Route 77 (HOGKL) telah menjalankan satu misi istimewa – membawa kegembiraan kepada 50 anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Kasih Murni.
Konvoi bermula dari markas HDKL Route 77 di Jalan Ampang menuju ke GSC Mid Valley Megamall, di mana mereka bersama-sama anak-anak yatim menonton filem Ejen Ali The Movie 2 yang kini sedang hangat di pawagam seluruh negara. Suasana gamat dengan gelak tawa dan keterujaan, bukan sahaja dari kanak-kanak, malah dari para ‘abang Harley’ sendiri yang nyata terhibur dengan kualiti animasi tempatan yang membanggakan.
Menurut Presiden HOGKL, Encik Mohamad Wira, pengalaman ini membuka perspektif baru terhadap filem animasi tempatan. “Jangan ingat kita ni keras dan ganas je. Bila tengok Ejen Ali, terus jatuh hati! Jalan cerita dia hebat, mesej yang disampaikan pun mendalam, dan kualiti grafik memang kelas dunia. Ini bukan sekadar cerita budak-budak – semua peringkat umur boleh layan,” katanya sambil tersenyum.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) HOGKL yang memberi penekanan kepada nilai kemasyarakatan dan kebajikan. Melalui usaha ini, HOGKL berharap dapat mencetuskan inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk menjadikan aktiviti konvoi bukan sekadar gaya hidup, tetapi juga platform untuk memberi kembali kepada komuniti.
Ejen Ali The Movie 2 terus mencuri perhatian penonton dengan jalan cerita yang penuh aksi, sentuhan emosi yang mendalam, serta mesej kekeluargaan dan pengorbanan. Dengan sambutan luar biasa daripada semua lapisan masyarakat – termasuk komuniti Harley-Davidson – filem ini membuktikan bahawa animasi tempatan kini setanding dengan produksi antarabangsa.
Misi belum berakhir. Ayuh teruskan sokongan terhadap Ejen Ali The Movie 2 di pawagam berhampiran anda dan sebarkan gelombang positif bersama wira-wira tempatan seperti HOGKL. Saksikan bagaimana satu filem mampu menyatukan dunia yang berbeza – dari kanak-kanak hingga ke penunggang Harley – dalam satu semangat yang sama.
