Nama Malaysia terus bergema di pentas antarabangsa apabila kumpulan MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak berjaya meraih Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ dalam kategori ‘middle class’ di 26th Festival Antarabangsa Wind Orchestras Prague 2025, yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun di Republik Czech.
MAWO berjaya mengetepikan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam buah negara Eropah, dan diumumkan sebagai penerima markah tertinggi dalam kategorinya oleh panel juri profesional antarabangsa. Penilaian juri adalah berdasarkan kualiti persembahan, ketepatan teknikal serta penguasaan terhadap karya muzik berstandard dunia. Keputusan diumumkan pada 21 Jun 2025 jam 8 malam waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia) di Hotel Olsanka Prague.

Festival berprestij ini menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 negara, menjadikan MAWO satu-satunya wakil dari Asia, sekali gus membuktikan kemampuan bakat muda Malaysia dalam arena muzik antarabangsa. Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lower class, middle class dan higher class, berdasarkan tahap kesukaran karya serta kemahiran teknikal setiap kumpulan.
Kejayaan membanggakan ini membuktikan bahawa sistem pendidikan berteraskan Ulul Albab serta sokongan FELDA terhadap pembangunan generasi muda telah berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan sahsiah, tetapi juga dalam bidang kesenian dan muzik bertaraf dunia.
Pencapaian MAWO menjadi manifestasi kebolehan anak-anak luar bandar untuk tampil cemerlang di peringkat global, sekaligus membakar semangat lebih ramai pelajar untuk terus mengejar kecemerlangan tanpa batasan geografi atau latar belakang.
MAWO dijangka pulang ke tanah air pada 23 Jun 2025, jam 2 petang.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Unit Komunikasi Korporat
MRSM Ulul Albab FELDA Trolak
emel: info@mrsmua.edu.my
