Tahun 2024, MAPS dianjurkan untuk memperingati pencapaian cemerlang 12 peserta terpilih dari Program Latihan Pembangunan Usahawan (PLATS Digital), yang mewakili 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) memegang peranan penting sebagai badan korporat yang menguruskan aset serta pelaburan milik Kerajaan Negeri Selangor, sambil berperanan sebagai wakil kerajaan negeri dalam mengendalikan aktiviti perniagaan di luar bidang kuasanya.
Encik Azri, Ketua Yayasan MBI Selangor, menekankan peranan penting organisasi tersebut dalam memajukan dan menyokong pembangunan Kerajaan Negeri Selangor. Beliau juga menegaskan komitmen Yayasan MBI dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dengan penuh dedikasi dan kesungguhan.
“Platform Selangor (PLATS) merupakan inisiatif terkini Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan untuk mengubah peniaga mikro, seperti penjaja dan peruncit kecil, ke era digital. Ia tidak hanya menyediakan platform promosi, tetapi juga menjadi direktori digital yang memudahkan mereka mengatasi cabaran ekonomi semasa yang dipengaruhi oleh pandemik COVID-19.
“Meskipun pinjaman yang kita berikan tidak begitu besar, iaitu hanya RM3000. Kita percaya dengan modal permulaan itu, mereka mampu membuat inovasi terhadap diri sendiri sekaligus menganjak jati diri untuk terus berusaha dan berdaya saing agar terus maju”.
“Beberapa inisiatif diteruskan dengan mewujudkan direktori digital dengan pembentukan Rakan Digital Selangor bagi membantu peniaga mikro dalam aktiviti promosi melalui saluran media digital dan sosial pada tahun 2021”, ujarnya ktika di temui media dalam majlis Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2024 yang telah berlangsung di Sunway Hotel & Resorts di Subang Jaya pada 12 Julai lalu.
Inisiatif PLATS yang digariskan oleh MBI Selangor dipandang sebagai langkah progresif yang tidak hanya mendorong perkembangan ekonomi digital di Selangor, tetapi juga dianggap sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Lebih dari 20,000 peniaga mikro di Selangor kini menikmati manfaat daripada PLATS, dengan lebih 1,000 peluang pekerjaan dicipta khusus untuk kumpulan B40 melalui inisiatif PLATS Rakan Digital Selangor (RDS). Inisiatif ini bukan sahaja membantu para peniaga mikro berkembang, tetapi juga memberikan sinar harapan kepada golongan B40 dengan peluang pekerjaan yang lebih cerah.
“MAPS 2024 yang di anjurkan adalah untuk meraikan 12 peserta telah dipilih untuk menjadi peserta terbaik berdasarkan pencapaian mereka sepanjang menjalani Program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS Digital) mewakili 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)”
“MAPS 2024 bukan sahaja menjadi platform untuk mengiktiraf pencapaian peserta PLATS tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka untuk terus maju dan berjaya dalam bidang keusahawanan terutamanya usahawan mikro Selangor pada masa hadapan”. jelasnya.