Hujan Dedikasi Lagu “Demi Lencana Di Dada” Sebagai Lagu Rasmi Harimau Malaya

Demi menyemarakkan semangat membara bukan sahaja kepada pemain tetapi juga kepada penyokong Harimau Malaya, terjalin sebuah kerjasama utuh antara Warner Music Malaysia (WMM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melahirkan single berjudul Demi Lencana Di Dada. Lagu ini dibawakan oleh kumpulan Hujan yang sememangnya dikenali sebagai salah satu gergasi muzik tempatan, menjanjikan sesuatu yang istimewa untuk memanaskan lagi suasana bola sepak tanah air.

Dilancarkan secara rasmi pada 5 September, Demi Lencana Di Dada bukan sekadar sebuah karya muzik biasa. Ia diangkat sebagai lagu rasmi skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, yang diyakini mampu memperkuat semangat kesukanan dan membangkitkan rasa patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia ketika menyokong pasukan negara di pentas bola sepak.

Menurut vokalis Hujan, Noh, idea projek ini mula digerakkan sejak Februari 2025 dengan penekanan terhadap kualiti muzik, lirik serta mesej yang ingin disampaikan. Beliau menyatakan rasa bangga dan terharu apabila diberi peluang untuk menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya kerana baginya, bola sepak sudah sebati dengan jiwa rakyat Malaysia. Menurutnya lagi, lagu ini bukan sekadar sebuah melodi tetapi semangat yang mampu menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan tanah air.

Lagu ini diperdengarkan buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September sempena perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Singapura. Ia turut akan dimainkan pada perlawanan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 8 September 2025. Noh mengakui bahawa proses merakamkan lagu ini bukanlah mudah kerana mereka perlu menyampaikan semangat Harimau Malaya dengan penuh keikhlasan. Setiap bait lirik dan setiap nada yang dibawakan perlu benar-benar membakar semangat pemain di padang dan penyokong sama ada di stadium mahupun di rumah.

Seperti yang diketahui, muzik berperanan besar dalam menghidupkan semangat dan keterujaan dalam sukan bola sepak. Ia juga menjadi medium yang mampu menghubungkan satu generasi dengan generasi lain, selain menyatukan peminat daripada pelbagai latar belakang dan bangsa. Justeru, Demi Lencana Di Dada bukan sahaja menyuntik semangat perpaduan malah diyakini mampu mendorong pemain Harimau Malaya untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Hujan menzahirkan harapan agar bola sepak Malaysia terus melangkah maju bukan sahaja dari segi pencapaian tetapi juga sebagai platform untuk menyatukan rakyat Malaysia. Mereka percaya bola sepak mempunyai kuasa luar biasa untuk menghubungkan masyarakat, dan dengan semangat Harimau Malaya, Malaysia mampu terus melakar sejarah yang membanggakan.

Demi Lencana Di Dada diterbitkan hasil kerjasama erat antara WMM dan FAM, sekaligus menjadi lagu rasmi pertama pasukan kebangsaan yang lahir daripada inisiatif kedua-dua pihak ini. Lagu tersebut boleh distrim di semua pelantar digital bermula 5 September manakala lirik video rasmi akan ditayangkan di saluran YouTube WMM.