TV3 dan Alternate Records sekali lagi mengukir kejayaan gemilang apabila merangkul dua anugerah berprestij di ContentAsia Awards 2025 yang berlangsung di Taipei pada 4 September 2025. Kemenangan ini menegaskan keunggulan mereka sebagai peneraju industri muzik kreatif dan kandungan negara di pentas antarabangsa.
Lagu popular Hening Rindu nyanyian Marsha Milan yang menjadi runut bunyi rasmi drama Aku Bukan Ustazah di Slot Akasia TV3 telah diumumkan sebagai pemenang Gold Award bagi kategori Best Sound Design Created in Asia for an Asian TV Programme/Series. Karya ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna ini bukan sahaja berjaya memikat hati penonton tempatan, malah mendapat pengiktirafan antarabangsa, setanding dengan pencalonan lain dari seluruh Asia. Gabungan melodi yang menyentuh jiwa, susunan bunyi yang penuh emosi dan keserasian dengan jalan cerita drama menjadikan Hening Rindu elemen penting kepada kejayaan siri tersebut. Pengiktirafan di ContentAsia Awards 2025 ini sekaligus membuktikan bahawa karya tempatan mampu berdiri sebaris dengan produksi antarabangsa.
Antara pencalonan lain dalam kategori ini ialah Bad Guys daripada BASE Entertainment dan CJ ENM Hong Kong Limited, Furever Yours oleh Mediacorp Pte Ltd, Karuvanam hasil kolaborasi Mediacorp Pte Ltd dan Storybots Asia, Lamput Season 4 – Boss On The Moon oleh Warner Bros. Discovery dan Shape of Love daripada Hakka TV / LUMINOSO FILM CO., LTD. Anugerah Gold ini diterima oleh Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Filem, Muzik dan Produksi Dalaman Media Prima Television Networks bagi pihak produksi. Shahila menyatakan bahawa kejayaan Hening Rindu bukan sahaja menyentuh jiwa penonton tempatan tetapi juga mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, membuktikan bahawa karya tempatan mampu menembusi persaingan serantau dan meraih pengiktirafan dunia.

Selain itu, TV3 turut membawa pulang Silver Award bagi kategori Best Current Affairs Programme Made in Asia for a Single Market in Asia menerusi dokumentari Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1. Program ini bukan sekadar dokumentari biasa, tetapi sebuah karya penuh emosi yang mengetengahkan tragedi sebenar dengan mesej sosial yang mendalam. Kemenangan ini menegaskan peranan TV3 sebagai penerbit kandungan berimpak tinggi yang mampu membawa isu masyarakat ke pentas antarabangsa. Ahmad Farith Zahir, Penerbit Eksekutif Fail Mahkamah, menjelaskan bahawa kes Zulfarhan bukan sekadar kisah jenayah, tetapi pengajaran tentang amanah, persahabatan dan kepercayaan yang dikhianati. Dua episod khas dokumentari ini memberikan peluang kepada penonton untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana tragedi tersebut berlaku dan membuka perbincangan tentang isu buli dan penderaan yang masih wujud dalam masyarakat.
Episod khas Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1 kini boleh distrim secara eksklusif di Tonton, memberi penonton pengalaman lebih mendalam untuk memahami kisah yang sarat pengajaran ini. Majlis anugerah ContentAsia 2025 menghimpunkan lebih 150 pencalonan dari pelbagai negara Asia dan disiarkan secara langsung melalui platform digital ContentAsia dengan AXN sebagai rakan penyiar rasmi Red Carpet. Kemenangan ini sekali lagi mengangkat martabat industri hiburan dan kandungan produksi Malaysia ke peringkat antarabangsa, membuktikan bahawa karya tempatan bukan sahaja mampu bersaing, malah mampu unggul di pentas global.