TV3 Raikan Ulang Tahun ke-41 Bersama Wira Kecil di Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM

Dalam semangat ulang tahun ke-41 TV3, satu misi kasih sayang telah dijayakan bersama dua ikon animasi tempatan yang menjadi kesayangan ramai – Ejen Ali dan Ejen Alicia dari filem Ejen Ali the Movie 2 yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Kedua-dua wira cilik ini menyertai kru rancangan Wanita Hari Ini (WHI) dalam satu lawatan khas ke Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM bagi menyantuni pesakit-pesakit cilik yang sedang menjalani rawatan.

Inisiatif ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha TV3 untuk terus mengangkat nilai-nilai kemanusiaan dan keprihatinan terhadap masyarakat. Dalam suasana penuh mesra dan ceria, adik-adik yang dirawat di hospital berpeluang bertemu secara langsung dengan Ejen Ali dan Ejen Alicia – membawa sedikit keajaiban dari layar perak ke dunia nyata mereka.

Suasana menjadi semakin meriah dengan kehadiran persembahan badut yang mencuit hati, acara potong kek ulang tahun serta pemberian cenderahati istimewa kepada anak-anak yang diraikan. Walaupun kecil, momen-momen ini diharap mampu menyuntik semangat dan harapan dalam diri mereka, seiring dengan kekuatan untuk terus melawan penyakit dengan penuh ketabahan.

TV3 menyedari bahawa ulang tahun bukan sekadar untuk diraikan, tetapi juga menjadi ruang untuk menyebarkan kasih dan kegembiraan kepada mereka yang paling memerlukan. Justeru, lawatan ini menjadi simbolik kepada pengabdian TV3 terhadap nilai kemasyarakatan yang telah menjadi sebahagian daripada identiti stesen selama lebih empat dekad.

Misi menyemarakkan cuti sekolah dan menyampaikan mesej bermakna turut diteruskan dengan tayangan Ejen Ali The Movie 2, yang padat dengan aksi, nilai persahabatan dan semangat perjuangan. TV3 mengajak semua keluarga untuk memanfaatkan masa berkualiti bersama insan tersayang dengan menonton filem ini di pawagam berdekatan.

Untuk momen penuh emosi dan kebahagiaan dari lawatan ini, tonton video khas yang telah dimuat naik di platform digital TV3.