ROSSA BAWAK AURA “HERE I AM” KE KL – AXIATA ARENA BAKAL JADI SAKSI MALAM PENUH EMOSI DAN BINTANG

Selepas mencipta sejarah tersendiri di Indonesia Arena, Jakarta dengan kehadiran lebih 12,000 peminat, penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa kini bersedia mengulangi keajaiban itu di Kuala Lumpur. Konsert mega Here I Am akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025, menandakan satu lagi bab penting dalam perjalanan seni ikonik beliau.

Lebih daripada sekadar persembahan pentas, Here I Am adalah luahan rasa, penghargaan dan cinta Rossa kepada Malaysia – negara yang menyaksikan kariernya berkembang selama hampir tiga dekad. Ia juga menjadi medan mempererat hubungan istimewa antara Rossa dan peminat setianya yang tidak pernah lekang menyokong dari awal hingga kini.

“Setiap kali melangkah ke pentas di Malaysia, saya seperti pulang ke rumah. Saya rasa disambut, dihargai dan didukung sepenuh hati. Konsert ini bukan hanya tentang lagu-lagu saya, tetapi tentang kita – perjalanan yang kita tempuhi bersama,” ujar Rossa penuh emosi.

Rossa bakal mempersembahkan lebih 25 lagu sepanjang dua jam persembahan, membawakan karya ikonik seperti Tegar, Hati Yang Kau Sakiti, Pudar, Terlalu Cinta, dan Aku Bukan Untukmu. Yang lebih istimewa, malam tersebut akan dimeriahkan dengan barisan artis undangan pilihan yang cukup bermakna buat dirinya.

Antara tetamu istimewa yang akan turut bersinar di pentas adalah penyanyi versatil Hael Husaini, yang bakal bergandingan dengan Rossa dalam satu persembahan eksklusif penuh jiwa. Turut tampil ialah The Ladies – barisan penyanyi wanita berbakat dari Indonesian Idol: Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla – menyatukan semangat dan kekuatan wanita Nusantara di atas satu pentas.

Tidak berhenti di situ, malam magis ini turut menyaksikan kemunculan sahabat seni seperti Ariel Noah yang akan membawa aura legenda menerusi kolaborasi duet, serta penyanyi bervokal mantap Ernie Zakri. Rossa juga memberikan ruang kepada elemen baharu dalam persembahan dengan kehadiran MK K-Clique yang mewakili semangat muda dan perubahan, manakala DJ dan produser terkenal Dipha Barus akan memberi sentuhan muzik yang lebih moden dan mengejutkan.

Sebagai tanda sokongan terhadap bakat baharu tempatan, Rossa turut mengundang finalis Top 4 One In A Million – Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen – dalam segmen khas yang meraikan perpaduan suara pelbagai generasi.

Konsert Here I Am dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production, dengan kerjasama promosi dan pemasaran dari Sah Entertainment. Harga tiket bermula serendah RM228 (Festival) hingga RM788 (Diamond Center) dan boleh dibeli melalui www.ticket2u.com.my. Untuk tiket korporat dan sebarang pertanyaan rasmi, hubungi Puan Cik Rohaiza di 019-288 9764 atau emel: rossa@yayasanprihatin.com.

Dengan barisan lagu penuh makna, penampilan istimewa dan elemen kejutan, Here I Am Kuala Lumpur bukan sekadar konsert, ia adalah perayaan kasih sayang dan sambutan sebuah perjalanan muzik yang telah menyentuh hati jutaan insan. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada malam yang akan menjadi memori abadi.