NONA & TV3 RAI 41 TAHUN DALAM GAYA MANIS DI CAKE PIKNIK

Program ikonik wanita Malaysia, NONA, menyambut ulang tahun ke-41 bersama TV3 menerusi sebuah episod khas penuh warna-warni dan inspirasi di Cake Piknik bertempat di Villa Rimba Flora, Sungai Buloh. Dalam suasana santai berkonsepkan alam semula jadi, acara ini menjadi simbolik penghargaan terhadap kekuatan kewanitaan, semangat juang dan keindahan kreativiti wanita sepanjang empat dekad siarannya.

Diserikan oleh pengacara NONA, Amyra Rosli, majlis ini turut menghimpunkan selebriti, peminat serta pengusaha bakeri dari seluruh negara yang hadir dengan kek buatan tangan mereka untuk meraikan NONA dan TV3. Latar pastel yang memukau, dekorasi kek pelbagai gaya, serta momen-momen manis antara tetamu menjadikan sambutan ini bukan sekadar majlis, tetapi satu kenangan penuh makna.

Persembahan bertenaga oleh Nabila Razali membuka tirai acara, sebelum para tetamu menikmati sesi rasa kek sambil beramah mesra bersama pembuatnya. Keunikan setiap kek yang dihasilkan mendapat inspirasi daripada elemen nostalgia dan identiti TV3, menampilkan kreativiti tinggi bakers wanita tempatan yang penuh semangat dan cita rasa tersendiri.

Salah satu detik istimewa dalam acara ini ialah sesi Dramatic Success, di mana dua usahawan kulinari terkenal, Chef Kecik dan Nor Arieni Adriena dari Gula Cakery, berkongsi perjalanan jatuh bangun mereka dalam dunia perniagaan bakeri. Kisah mereka membuka mata tentang kecekalan, kreativiti dan sokongan komuniti yang menjadi kunci kejayaan wanita dalam industri.

Acara diteruskan dengan sesi demonstrasi oleh Jessica dari @missshortcakes, yang mencipta Mille Feuille dalam bentuk angka “41” sempena ulang tahun TV3. Hiasan kek tersebut bukan sahaja mengagumkan secara visual tetapi menjadi metafora kepada kekuatan, keunikan dan warisan program TV3 yang terus hidup dalam hati rakyat Malaysia.

Kemuncak majlis adalah penyampaian Most Dramatic Cake Award yang mengiktiraf hasil kerja tangan paling kreatif dan menyentuh emosi. Para pemenang dipilih oleh juri khas termasuk wakil dari TV3 berdasarkan persembahan keseluruhan kek mereka. Acara ini turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, aktiviti vendor dan pelbagai sesi interaktif bersama tetamu sepanjang hari.

Sambutan ulang tahun ini membuktikan bahawa NONA bukan sekadar rancangan hiburan, tetapi sebuah platform yang meraikan dan memperkasakan wanita dari pelbagai latar belakang. Gabungan kek dan cerita menjadi simbolik bahawa setiap kejayaan perlu diraikan, dan setiap wanita membawa kisah unik yang patut diketengahkan.

Untuk berita dan siaran akan datang, ikuti NONA dan TV3 di laman sosial rasmi @TV3Malaysia serta @dramasangat di Instagram. Jangan lepaskan peluang menyaksikan episod penuh NONA Cake Piknik hanya di TV3.