Latihan Pestapora Malaysia bakal mencipta sejarah tersendiri apabila barisan pertama artis diumumkan secara rasmi dalam sidang media khas yang berlangsung di The Campus Ampang pada 7 Mei 2025. Acara ini merupakan hasil kolaborasi antara Hitman Solutions dari Malaysia dan Boss Creator, penganjur Pestapora dari Indonesia, yang membawa gabungan muzik serumpun ke pentas tempatan. Festival ini bakal berlangsung pada 26 Julai 2025 dan menjanjikan satu pengalaman muzik pelbagai rasa dengan kehadiran 24 artis dari kedua-dua negara.
Barisan artis dari Indonesia yang bakal membuat persembahan buat pertama kali di Malaysia termasuklah .Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas. Manakala dari Malaysia pula, barisan artis yang turut memeriahkan pentas termasuk Bittersweet, Bunkface, DOLLA, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi. Latihan Pestapora Malaysia menampilkan kepelbagaian genre seperti pop, rock, alternatif, hip-hop dan indie untuk menarik pelbagai lapisan peminat muzik tempatan dan serantau.

Menurut Rohit Rampal selaku CEO dan pengasas Hitman Group, ribuan peminat dari Malaysia sebelum ini sanggup ke Jakarta semata-mata untuk menghadiri Pestapora. Melihat sambutan hangat itu, pihak penganjur mengambil inisiatif membawa pengalaman tersebut ke tanah air sendiri. Lebih membanggakan, lebih 2,000 tiket telah terjual walaupun barisan artis belum diumumkan, membuktikan keyakinan tinggi peminat terhadap jenama Pestapora yang sinonim dengan muzik, seni dan budaya.
Latihan Pestapora Malaysia bukan sekadar sebuah konsert, tetapi turut berfungsi sebagai platform kolaborasi rentas budaya antara Malaysia dan Indonesia. Ia juga menjadi acara pemanas badan untuk edisi utama Pestapora yang akan berlangsung di Jakarta pada September 2025. Penganjur melihat potensi besar untuk mengembangkan rangkaian kreatif di antara kedua-dua negara menerusi festival ini.
Festival ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai rakan rasmi antaranya ERA, ERA Sarawak, ERA Sabah, HITZ, SINAR, MIX, THR Gegar dan SYOK sebagai rakan radio rasmi, World of Buzz dan Lobak Merah sebagai rakan media rasmi, Batik Air dan BookCabin sebagai rakan pelancongan, Sunway Putra Hotel sebagai hotel rasmi, Universal Music Malaysia sebagai penyokong muzik, Tapao Fest sebagai rakan strategik serta The Campus Ampang sebagai lokasi rasmi sidang media.
Pengarah Festival Pestapora dan pengasas bersama Boss Creator, Kiki Ucup, berkongsi bahawa usaha membawa Latihan Pestapora ke Malaysia merupakan satu langkah strategik untuk memperluas pengaruh Pestapora di rantau ini. Harapan mereka ialah untuk menggalakkan lebih banyak kolaborasi antara penggiat seni Malaysia dan Indonesia serta membuka ruang kepada karya-karya tempatan dikenali secara meluas.
Untuk maklumat tiket, harga yang ditawarkan adalah RM129 ke atas bagi General Admission, RM199 ke atas untuk Rockzone, RM70 untuk kanak-kanak dan tambahan RM100 untuk akses Express Lane. Pembelian tiket boleh dilakukan melalui laman web rasmi www.latihanpestaporamalaysia.com. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian +6012-2655783 atau emel concerts@hitman.group.