KTMB Mempererat Kerjasama dengan Media dalam Majlis Makan Petang “Train & Tea”

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini mengadakan majlis makan petang yang bertajuk Train & Tea: Media with KTMB di Hotel Melia, Kuala Lumpur sebagai penghargaan kepada pengamal media yang telah memberi sokongan yang tidak ternilai sepanjang perjalanan KTMB menghadapi pelbagai perubahan dan cabaran. Majlis ini dihadiri oleh lebih daripada 50 wakil media dari pelbagai agensi terkemuka seperti RTM, Berita Harian, Bernama, TV3, Kosmo, Harian Metro, New Straits Times, dan banyak lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, dalam ucapan beliau menyatakan bahawa peranan media dalam kejayaan KTMB sangat penting. Beliau menekankan bahawa tanpa sokongan dan kerjasama yang berterusan daripada media, KTMB mungkin tidak dapat mengatasi banyak cabaran dan menyampaikan perkembangan serta pencapaian syarikat kepada rakyat Malaysia.

“Media adalah rakan kongsi penting dalam perjalanan kami, dan kami amat berterima kasih atas sokongan yang telah diberikan. Pada tahun ini, kami berharap dapat terus bekerjasama dengan media dalam memberikan liputan yang berwawasan dan menyebarkan semangat kerjasama yang lebih erat,” ujar Datuk Mohd Rani.

Salah satu fokus dalam majlis ini adalah memperkenalkan semula Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB yang keempat. Pelantikan beliau yang baharu mengukuhkan lagi komitmen KTMB dalam mencapai matlamat dan visi syarikat yang lebih besar, termasuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memenuhi permintaan pelanggan.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Rani berhasrat untuk memajukan KTMB melalui inovasi dan keberkesanan operasi, serta menambahbaik hubungan dengan pelanggan dan rakan kongsi.

Selain daripada sesi makan petang, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan bagi meriahkan lagi majlis tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Cabutan Bertuah, Spin the Wheel, dan Peragaan Pakaian Terbaik. Para pemenang berpeluang membawa pulang hadiah menarik seperti barangan elektronik, tiket MySawasdee, hamper serta produk-produk eksklusif dari Rail Boutique KTMB.

KTMB berharap acara ini dapat memberi ruang kepada media untuk lebih mengenali syarikat dan menyediakan peluang untuk mereka berkongsi pengalaman serta perspektif yang berbeza. Ini juga memberi peluang untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara KTMB dan media, serta memberikan platform untuk kedua-dua pihak saling memberi sokongan dalam memajukan industri pengangkutan rel di Malaysia.

KTMB terus berkomitmen untuk memperkukuhkan kerjasama dengan media melalui acara-acara seperti ini, di mana kedua-dua pihak dapat saling bertukar pandangan, berkongsi maklumat serta membina hubungan yang lebih erat dan produktif. Majlis ini diharapkan dapat memupuk semangat kerjasama yang lebih tinggi untuk membawa KTMB ke arah yang lebih maju, dalam menghadapi pelbagai cabaran dan memacu kejayaan yang lebih besar di masa hadapan.

Dengan kerjasama yang erat ini, KTMB berhasrat untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan rel di Malaysia, seterusnya memberi manfaat kepada pengguna dan masyarakat secara keseluruhan.