Amir Masdi Luah Rasa dan Cinta Dalam Single “Bakal Kekasih” – Sentuhan Rock & Roll Penuh Ceria

Selepas sekian lama menyimpan kisah peribadinya rapat di dada, penyanyi bervokal mantap Amir Masdi akhirnya berkongsi sisi romantik dirinya menerusi single terbaharu berjudul Bakal Kekasih. Lagu ini bukan sahaja mencerminkan luahan hati Amir terhadap seseorang yang istimewa, malah memperlihatkan keberaniannya meneroka genre baharu – rock and roll.

Menurut Amir, 29, yang juga juara pertandingan realiti nyanyian popular, Bakal Kekasih menggambarkan perasaan ketika jatuh hati dan mula menyimpan angan-angan untuk menjadikan seseorang itu pasangan hidup. Ia bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi hadir dengan semangat dan tenaga yang membawa naratif yang mudah difahami serta dekat di hati pendengar.

“Pada mulanya saya mahu hasilkan lagu yang santai dan fun, tapi Cikgu Edry beri idea untuk menjadikannya lebih mendalam – tentang rasa ingin jadikan seseorang itu teman hidup. Idea tu saya rasa kuat dan boleh ‘kena’ dengan sesiapa saja,” kongsi Amir mengenai kolaborasinya bersama komposer terkenal, Edry Abdul Halim.

Bakal Kekasih merupakan single keempat dari album A.M P.M (Side A.M) selepas kejayaan lagu-lagu seperti Nur Cinta, Calar, dan Langit Biru. Namun, lagu ini berbeza daripada yang sebelumnya, kerana ia memperlihatkan Amir dalam dimensi muzik yang baharu – penuh dengan semangat era rock and roll.

Menurut Amir, lagu tersebut sebenarnya telah lama ditulisnya, namun ‘tersadai’ dalam telefon sejak tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ia kemudian diberi nafas baharu dan diperkemas bersama Edry untuk dimuatkan dalam albumnya.

“Saya memang simpan lagu ni lama. Bila tiba masa saya nak lengkapkan album, saya terus teringat lagu rock and roll ni dan kongsikan dengan Cikgu Edry. Dia kata, ‘This is a good tune’, dan dari situ bermulalah pembikinan Bakal Kekasih versi penuh,” katanya.

Bagi Amir, Bakal Kekasih juga menjadi saluran untuk mereka yang sedang menyimpan rasa suka tetapi tidak tahu bagaimana mahu meluahkannya.

“Kalau ada sesiapa yang tengah ‘crush’ tapi segan nak bagitahu, guna je lagu ni. Liriknya direct, vibe-nya pun ceria dan mudah untuk buat orang senyum,” ujarnya sambil ketawa.

Lebih menarik, video muzik Bakal Kekasih dirakam di sebuah restoran bertema retro di Manchester, United Kingdom, pada Februari lalu. Konsep video ini diinspirasikan daripada filem-filem remaja popular seperti High School Musical dan Uptown Girl, menampilkan suasana riang, penuh tenaga dan elemen klasik yang jarang diketengahkan masa kini.

“Memang saya nak tampilkan satu vibe yang menyeronokkan dan ‘teenage love’. Rock and roll ni genre yang nostalgic tapi fresh kalau kena gaya. Saya harap lagu ni boleh beri semangat baru dalam kerjaya saya dan hiburkan semua pendengar,” tambahnya lagi.

Bakal Kekasih kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube AR United Music melalui pautan: https://youtu.be/zE_0Q2x7NF8