Kerjasama UOA Academy & Industri Lonjak Latihan TVET

Usaha memperkasakan komuniti melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus digiatkan apabila UOA Academy menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pelbagai syarikat hospitaliti utama dalam satu majlis yang berlangsung di ASTANA, Bamboo Hills semalam.

Kerjasama strategik ini menghimpunkan nama-nama besar dalam industri seperti Concorde Hotel Shah Alam, The Boathouse Pulau Tioman, The Lakehouse Cameron Highlands, Putrajaya Leisures & Services Group (PULSE Group), PARKROYAL COLLECTION & Pan Pacific Serviced Suites Kuala Lumpur, VE Hotel & Residences, Komune Living Bangsar South, Komune Living & Wellness, Connexion Conference & Event Centre (CCEC), serta rangkaian restoran terkenal seperti Potager, Entier French Dining, Botanica+Co dan Botanica Deli.

Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pemberdayaan golongan asnaf, B40, komuniti Orang Asli, serta individu yang menganggur menerusi penyertaan dalam program TVET Hospitaliti anjuran UOA Academy. Peserta akan melalui latihan praktikal yang disusun berdasarkan keperluan sebenar industri, sekali gus membuka jalan kepada peluang kerjaya sebenar dalam sektor yang pesat berkembang.

Apa yang membezakan UOA Academy daripada institusi TVET lain ialah pendekatan “dari industri untuk industri”. Setiap dekan dan tenaga pengajarnya merupakan pemimpin industri yang aktif, memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan dalam syarikat hospitaliti masing-masing. Ini memastikan kandungan pembelajaran kekal relevan, selaras dengan kehendak pasaran semasa.

Kurikulumnya dibangunkan berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), dan turut merangkumi modul penting seperti Bahasa Inggeris Perniagaan dan Matematik Perniagaan — elemen yang diperlukan bagi memastikan pelajar bukan sahaja cekap dari segi teknikal, tetapi turut bersedia dari aspek komunikasi dan pengurusan dalam persekitaran kerja sebenar.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan UOA, Haikal Akmar, menjelaskan bahawa inisiatif ini bukan sekadar bertujuan menyediakan kemahiran teknikal, tetapi juga untuk memperkasa kehidupan sosial dan ekonomi para peserta. “TVET adalah satu platform untuk mengubah nasib dan membuka laluan kerjaya yang bermakna kepada mereka yang kurang bernasib baik. Ia juga seiring dengan agenda nasional dalam pembangunan modal insan,” katanya.

Dengan sokongan langsung daripada syarikat-syarikat hospitaliti yang terlibat, para peserta bukan sahaja menerima latihan secara praktikal, malah turut ditawarkan peluang latihan industri dan penempatan pekerjaan selepas tamat program.

Permohonan bagi sesi pengambilan Julai 2025 kini dibuka. UOA Academy menjemput golongan sasaran yang ingin mengubah masa depan mereka untuk menyertai program ini satu langkah ke arah kehidupan yang lebih stabil, berkemahiran dan bermaruah.