Produk Usahawan Tempatan dan Artis Popular Tarikan Utama Tahun Ini
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi tempatan menerusi pelancaran kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025. Kempen ini berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April melalui platform e-dagang MyMall, dengan sasaran hasil jualan mencecah RM5 juta peningkatan ketara berbanding RM2.5 juta yang dicapai pada tahun lalu.
Menariknya tahun ini, kempen turut mengetengahkan produk selebriti tempatan seperti sambal dan pakaian, serta jenama terkenal seperti Kasurysh, Lima Waktu, Elrah Exclusive, Primavalet, The Makan Shoppe, Beubon, Shasya Habib dan Aris Burger. Usaha ini dijangka memberi nilai tambah kepada pasaran tempatan sekaligus memperluas jaringan pasaran kepada segmen pengguna yang lebih meluas.
Majlis Pelancaran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Dewan ODEON, Kuala Lumpur sebuah lokasi bersejarah yang kini dimiliki oleh UDA Holdings Berhad, salah satu agensi di bawah KUSKOP.

“Pelancaran kempen ini adalah simbolik kepada komitmen kerajaan dalam membudayakan sokongan kepada produk keluaran usahawan tempatan. Ia bukan sahaja membina ekonomi domestik, tetapi juga meningkatkan daya saing usahawan kita di era digital,” kata YB Datuk Ewon dalam ucapan perasmiannya.
Kempen ini memberi peluang kepada usahawan untuk menyertai platform MyMall secara percuma dengan hanya mendaftar di laman web www.mymallmalaysia.my atau menghantar pertanyaan ke emel contact@mymallmalaysia.my. Pembeli pula boleh membuat pesanan secara langsung bagi persiapan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri menerusi laman yang sama.
Dalam majlis yang sama, KUSKOP turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada peniaga yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam kempen terdahulu. Antara kategori yang diberikan ialah Top Sales Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2024, Top Sales Year End Sales 2024, serta Rising Star Merchant.
Kempen Mari Beli Lokal merupakan inisiatif jangka panjang kementerian untuk menyokong digitalisasi dan pengembangan perniagaan PMKS tempatan. Pendekatan ini turut sejajar dengan nilai-nilai teras Malaysia MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
KUSKOP akan terus melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi bagi memastikan para usahawan dan koperasi tempatan terus kompetitif, mampan dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa dan masa hadapan.
