Peguam Membela Klien Misteri? “Phantom Lawyer” Tampil Dengan Kisah Guaman Luar Biasa di Tonton Bermula 13 Mac!

Kuala Lumpur, 12 Mac 2026 – Bagaimana jika klien pertama di firma guaman baharu anda bukan manusia, sebaliknya roh yang masih terperangkap dengan urusan dunia? Persoalan unik ini menjadi asas kepada siri drama Korea Phantom Lawyer yang bakal menemui penonton di Tonton bermula 13 Mac 2026. Disiarkan serentak dengan Korea, drama ini menggabungkan elemen guaman, fantasi, aksi dan misteri dalam sebuah penceritaan yang penuh kejutan dan emosi. Diarahkan oleh Shin Joong-Hoon, siri ini turut dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Yoo Yeon-Seok, Esom, Kim Kyung-Nam, Jun Suk-Ho dan Kim Mi-Kyung.

Drama ini mengikuti kisah Shin Yi-Rang (Yoo Yeon-Seok), seorang peguam muda yang membuka firma guamannya di sebuah rumah lama yang pernah dimiliki seorang bomoh. Kehidupannya berubah secara drastik apabila dia menyedari dirinya mempunyai keupayaan melihat roh. Tanpa diduga, roh-roh yang masih menyimpan penyesalan mula datang kepadanya sebagai klien, memohon bantuan untuk menuntut keadilan yang tidak sempat mereka peroleh ketika hidup. Setiap kes yang dikendalikan membuka rahsia baharu yang menghubungkan dunia manusia dan alam ghaib.

Dalam masa yang sama, Han Na-Hyun (Esom), seorang peguam elit dengan rekod kemenangan hampir sempurna, mula terlibat dalam kehidupan Yi-Rang selepas tewas dalam satu perbicaraan. Pada awalnya skeptikal, Na-Hyun akhirnya mula mempercayai keupayaan luar biasa Yi-Rang selepas menyaksikan sendiri kejadian aneh yang sukar dijelaskan. Mereka kemudian berganding bahu menyelesaikan pelbagai kes kompleks yang sarat dengan misteri dan emosi, sekali gus mencabar kepercayaan serta prinsip masing-masing tentang keadilan.

Dengan jalan cerita yang segar dan gabungan genre yang unik, Phantom Lawyer menjanjikan pengalaman tontonan yang berbeza kepada peminat drama Korea. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan siri ini di Tonton bermula 13 Mac 2026, dengan episod baharu disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu, jam 10.30 malam, selari dengan tayangan di Korea.