Marsha Milan Persembah Jiwa Borneo dalam “Misompuru”: Jom Rasai Getarnya di Listening Party Istimewa!

Setelah menggenggam gelaran Juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), Marsha Milan kini mengorak langkah lebih jauh dengan meraikan peminat dalam satu acara eksklusif – Misompuru: Borneo Album Listening Session, yang bakal berlangsung pada 13 Julai 2025 (Ahad), jam 4 hingga 6 petang di RXP, REX KL.

“Misompuru”, berasal dari bahasa Dusun, bermaksud “perhimpunan” atau “keramaian”. Semangat inilah yang ingin Marsha terjemahkan melalui acara ini – satu ruang pertemuan intim antara peminat, media dan warisan Borneo yang penuh warna budaya.

Album Misompuru bukan sekadar kompilasi muzik, ia adalah surat cinta Marsha kepada Borneo, tanah kelahirannya yang membentuk jiwa dan jati dirinya sebagai penyanyi. Dengan alunan etnik, elemen tradisional serta kolaborasi dengan ikon-ikon Borneo seperti Alena Murang, Velvet Aduk dan Datuk Francis Landong, album ini memancarkan keaslian muzik Sabah dan Sarawak yang semakin mendapat tempat di arena arus perdana.

Lebih membanggakan, keunikan Misompuru turut membawa Marsha ke pentas antarabangsa menerusi jemputan rasmi ke ROUND ASEAN-Korea Music Festival 2025, menjadikan beliau sebagai suara wakil Borneo dalam landskap muzik serantau. Pencapaian ini menjadikan Misompuru bukan sekadar karya tempatan, tetapi warisan Malaysia yang menembusi sempadan global.

Acara Listening Session Misompuru bukan hanya tentang muzik – ia adalah pengalaman budaya yang lengkap. Pengunjung bakal disajikan dengan:

  1. Persembahan langsung kelima-lima lagu dalam album
  2. Tarian dan persembahan budaya seperti Magunatip, Sumazau dan demonstrasi sumpit
  3. Hidangan makanan dan minuman tradisional Borneo
  4. Gerai eksklusif yang menjual merchandise rasmi Marsha Milan

Kemasukan adalah PERCUMA, tetapi tempat duduk amat terhad. Daftar segera melalui QR kod yang disediakan kerana siapa tahu, anda mungkin terpilih menerima kejutan eksklusif daripada Marsha Milan sendiri! Tetamu juga digalakkan hadir dengan sentuhan fesyen Borneo sebagai tanda sokongan dan meraikan keindahan identiti etnik.

Senarai lagu dalam album Misompuru termasuk:

  1. Nalan Nalan – Marsha Milan & Alena Murang
  2. Lintah Darat – Marsha Milan & Velvet Aduk
  3. Pelangi Pasti
  4. Santai Saja
  5. Hey Aramai Ti – Marsha Milan & Datuk Francis Landong

Untuk mendengar kesemua lagu dari album ini, strim di semua platform digital utama. Namun untuk benar-benar menghayati roh Borneo, tiada yang lebih bermakna selain menyertai sesi eksklusif ini bersama Marsha sendiri.

Ikuti maklumat lanjut dan pengumuman rasmi dari pihak penganjur di media sosial rasmi Alternate Records & Talents:
Facebook: Alternate Records & Talents
Instagram: @alternate.my_
TikTok: @alternate.rt_