Dunia muzik tempatan menyambut kemunculan rasmi sebuah nama baharu, LEV, yang tampil dengan single sulung berjudul “Aku Bukan Bosan”. Diterbitkan di bawah label Empayar Masdo Sdn. Bhd., single ini membawa dimensi segar dalam penulisan lagu dan emosi yang jujur, menjadikan LEV antara kumpulan pendatang baharu yang wajar diberi perhatian.
LEV dibentuk pada 13 Mei 2022 dan terdiri daripada tiga ahli berbakat – Leo Azman (vokalis, komposer dan penulis lirik), Riz (gitaris) dan Kecik (pemain bass). Mereka kini bernaung di bawah pengurusan Empayar Masdo, syarikat yang turut menaungi kugiran retro terkenal tanah air, MASDO.
“Aku Bukan Bosan” adalah buah tangan pertama daripada LEV dan sepenuhnya ditulis serta digubah oleh Leo Azman. Menariknya, penerbitan lagu ini melibatkan sentuhan antarabangsa menerusi kolaborasi bersama Andi daripada kumpulan Fourtwnty, yang menggalas peranan sebagai penerbit, adunan dan mastering di Bijanfx Studio. Proses kreatifnya memakan masa selama dua minggu dengan lima versi draf sebelum versi akhir dimuktamadkan.

Lagu ini mengetengahkan kisah pengorbanan seorang lelaki yang meninggalkan keluarganya demi mencari rezeki, sebuah realiti pahit yang sering disalah tafsir dalam hubungan jarak jauh. Tema kepercayaan, kesetiaan dan tekanan emosi digarap dalam bentuk lirik yang tulus dan dekat di hati rakyat biasa. Menurut Andi, “Kami mahu lagu ini mewakili suara golongan yang jarang didengari. Bukan semua orang pandai meluah, tapi muzik boleh bercakap untuk mereka.”
Sebelum pelancarannya secara rasmi di platform digital, lagu ini telah dipersembahkan di beberapa lokasi sempena Jelajah Menuju MASDO 10 Tahun, sekaligus memberi ruang kepada LEV untuk memperkenalkan identiti muzik mereka kepada khalayak lebih luas. Persembahan-persembahan tersebut berjaya menarik perhatian peminat baharu yang terkesan dengan kejujuran lagu tersebut.
LEV tampil sebagai kumpulan yang memilih untuk menyalurkan mesej realiti tanpa dramatik yang berlebihan. “Aku Bukan Bosan” adalah cerminan kepada ribuan kisah yang jarang diberi ruang – kisah para ayah, suami dan pejuang rezeki yang berkorban tanpa banyak kata.
Single ini bukan sekadar permulaan, tetapi satu peringatan bahawa muzik yang ikhlas mampu menyentuh hati pendengar. Untuk semua yang sedang berjuang demi keluarga, LEV mempersembahkan lagu ini sebagai suara kalian suara yang tak pernah diluah, tetapi sentiasa dirasa.
Aku Bukan Bosan kini boleh distrim di semua platform digital. Dengarkan, hayati, dan mungkin temui kisah anda dalam lagu ini.