Karnival Jom Heboh (KJH) edisi 2025 yang berlangsung di KL Base Kuala Lumpur baru-baru ini telah berakhir dengan jayanya, mencatat kehadiran lebih 280,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari dari 30 Mei hingga 1 Jun. Bertemakan Ejen Ali, karnival kali ini menyajikan pengalaman yang segar dan interaktif dengan pelbagai aktiviti hiburan, pendidikan, keusahawanan dan kerjaya untuk semua lapisan umur.
Reruai Studio Tonton Drama Sangat menjadi antara lokasi yang paling mendapat perhatian, khususnya melalui pertandingan mewarna dan pertandingan cosplay yang diikuti lebih 200 kanak-kanak dan peserta dewasa. Muhammad Aliff Zafran (11 tahun) memenangi kategori kanak-kanak dengan kostum Satria, manakala Nurul Atiqah Ramli (37 tahun) meraih gelaran juara kategori dewasa dengan kostum Alicia.
Suasana karnival semakin meriah dengan kehadiran maskot rasmi Ejen Ali dan Ejen Alicia serta pelakon suara utama filem Ejen Ali The Movie 2 seperti Yatie Maslini, Shafiq Isa, Azman Zulkiply dan Qayyim Zamani yang turut menghiburkan pengunjung. Studio Tonton Drama Sangat juga dimeriahkan oleh selebriti dan personaliti Media Prima termasuk Fazleena Md Daud, Atira Karma, Jiha Sham, dan ramai lagi, bersama artis jemputan Andy Teh dan Syahmie Thsaqeef.
Sambutan hangat juga diberikan kepada kemunculan Dato’ Sri Siti Nurhaliza di booth TikTok Shop dan The Pocket Rocketman, Datuk Azizulhasni Awang di booth STDS yang menjadi tarikan utama kepada peminat yang ingin bertemu ikon negara secara dekat.
Konsert Jom Heboh pula berjaya mengumpulkan ribuan penonton selama dua malam dengan pengacaraan Ayu (HotFM), Haiza dan Muaz Mohamed (Kool 101). Malam pertama dihangatkan oleh persembahan Shiha Zikir, Bunga Isme, Puteri Khareeza dan lain-lain manakala malam penutup digegarkan oleh Sofia Liana, Marygrace, K.O.I, Ayu Damit, Ara Johari dan Ella.
Selain hiburan, aktiviti belon udara panas memberikan peluang pengunjung menikmati panorama indah Kuala Lumpur dari udara, sementara pameran kereta klasik, modifikasi dan supercar turut menjadi tumpuan.
Terima kasih kepada warga Kuala Lumpur atas sokongan luar biasa sepanjang Karnival Jom Heboh KL 2025. KJH akan meneruskan jelajahnya ke selatan dengan Karnival Jom Heboh Johor yang bakal dinantikan ramai.
Untuk maklumat lanjut, layari www.jomheboh.com.my dan ikuti @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram. Kongsikan pengalaman anda menggunakan tanda pagar rasmi #KarnivalJomHeboh #KJH dan jumpa anda di lokasi seterusnya!
