Penyanyi dan pencipta lagu tersohor, Hael Husaini, kembali mencuri perhatian dengan lagu terbaharunya berjudul “Penjuara”, runut bunyi rasmi untuk filem animasi yang sedang mencetus fenomena, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2). Diinspirasikan oleh semangat luar biasa peminat dan dunia perisikan futuristik Ejen Ali, Hael dan rakan kolaboratornya Iqie Hugh berjaya menyempurnakan lagu ini dalam tempoh hanya seminggu.
Dengan gabungan beat elektronik rancak dan mesej penuh inspirasi, “Penjuara” membakar semangat dan mencetus adrenalin – cukup sempurna untuk mengiringi detik mendebarkan dalam filem apabila Ejen Ali dan pasukan MATA menyamar memburu antagonis baharu, Neonimus. Lagu ini kini boleh didengar dalam babak penting EATM2 yang sedang ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia sempena musim cuti sekolah.
Bermula 30 Mei lalu, video lirik rasmi “Penjuara” yang dimuat naik ke saluran YouTube Ejen Ali sudah mencecah 55,000 tontonan, dan semakin hangat dikongsi di media sosial. Peminat memuji keserasian antara melodi, tempo dan lirik lagu yang membangkitkan aura perlawanan serta daya juang tinggi – menjadikan lagu ini antara runut bunyi tempatan paling berimpak tahun ini.
Lirik seperti “Selagi ku masih di sini, akan ku terus berlari” dan pembukaannya yang mengasyikkan – “La la lari ku lari” – menjadi simbol kepada perjalanan mencabar dalam dunia penuh risiko dan harapan. Dengan irama electro pop dan susunan muzik yang progresif, lagu ini tidak hanya menghiburkan tetapi menyuntik semangat untuk terus mara dan tak menyerah.
Menurut Hael, proses mencipta “Penjuara” adalah satu pengalaman bermakna sebagai peminat tegar francais Ejen Ali. “Kami memang fanboy Ejen Ali. Bila dapat peluang hasilkan lagu untuk filem ini, terus kami rangka semuanya ikut naratif dan emosi filem. Masa seminggu cukup sebab semangat tu datang dari hati,” jelas Hael.
Beliau turut menyifatkan kolaborasi bersama Alternate Records dan Rocketfuel Entertainment sebagai satu pencapaian besar yang membuka ruang buatnya dan Iqie untuk menyumbang dalam legasi filem animasi terbesar negara.
Untuk peminat yang ingin merasai sendiri kehangatan “Penjuara” dan dunia Ejen Ali, satu sesi tayangan istimewa bersama Hael, maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia akan diadakan pada 4 Jun 2025 (Rabu), jam 8.30 malam di GSC MyTown Shopping Centre. Tiket berharga RM35 termasuk barangan eksklusif boleh didapatkan di laman rasmi GSC sekarang.
“Penjuara” kini boleh didengarkan di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Di TikTok, audio lagu ini telah digunakan dalam ribuan video, mencatat 500,000 tontonan dalam minggu pertama pelancarannya – bukti kekuatan lagu ini dalam menyuntik semangat kepada semua lapisan peminat.
Sama ada anda pejuang mimpi, pelajar gigih, atlet atau sekadar pencinta muzik inspirasi, “Penjuara” adalah lagu untuk anda. Ayuh berlari ke hadapan dan jadilah penjuara dalam hidup anda sendiri.
Ikuti perkembangan terbaru Alternate Records & Talents di media sosial di Facebook Alternate Records & Talents, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_