LEE SOO-HYUK JEJASKAN BUKIT BINTANG! PAVILION KL BERUBAH JADI LAUTAN MANUSIA

Bukit Bintang semalam menyaksikan fenomena luar biasa apabila aktor kacak Korea Selatan, Lee Soo-hyuk, membuat kemunculan pertamanya di Malaysia. Lokasi tumpuan ibu kota itu seolah-olah bertukar menjadi pentas konsert mini apabila lebih 2,000 peminat membanjiri ruang legar Pavilion KL demi melihat sendiri bintang drama thriller terbaru S LINE itu secara dekat.

Lee Soo-hyuk hadir sebagai tetamu khas dalam acara Galaxy Unfolds Roadshow anjuran Samsung, bersempena pelancaran eksklusif drama S LINE yang kini boleh distrim di Tonton. Kemunculannya bukan sahaja mengejutkan pengunjung pusat beli-belah, malah mencetuskan kekecohan yang jarang berlaku di kawasan itu.

Seawal jam 2 petang, peminat sudah mula membanjiri ruang Concourse Utama Pavilion walaupun Lee Soo-hyuk dijadualkan tiba pada jam 5 petang. Menjelang jam 3, hampir setiap sudut – dari laluan utama, tangga, hingga ke tingkat atas – dipenuhi wajah-wajah teruja yang tidak sabar menyambut kedatangan ‘oppa’ pujaan mereka.

Kemunculan Lee Soo-hyuk mencetuskan sorakan gegak-gempita. Jeritan, tangisan, sepanduk dan lampu telefon bimbit membanjiri kawasan, menjadikan suasana seperti konsert mega. Ada peminat yang datang dari luar Kuala Lumpur termasuk dari Pulau Pinang dan Johor hanya untuk menyaksikan pelakon pujaan mereka dari dekat. Sepanduk seperti “Lee Soo-hyuk’s die-hard fan is here!!!” dan “Tonton❤️Lee Soo-hyuk” dikibarkan dengan penuh semangat, menambahkan lagi aura kehadiran bintang tersebut.

Lee Soo-hyuk, yang jelas terharu dengan sambutan luar biasa itu, menyatakan keterujaannya bertemu peminat Malaysia buat kali pertama. “I’m so happy to finally meet Malaysian fans. I’m super nervous right now. Thanks for supporting me,” ujarnya dengan senyuman penuh tulus. Saat paling mencairkan hati? Bila beliau mengungkap, “Aku cinta padamu,” yang disambut dengan jeritan dan sorakan bagaikan stadium bola sepak.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Samsung atas peluang tersebut dan berharap untuk kembali ke Malaysia pada masa akan datang. “I hope to visit Malaysia more. Thank you Samsung for giving this opportunity,” katanya sambil terus melambai mesra kepada peminat yang masih enggan berganjak.

Fenomena ini bukan sahaja menjadi bukti pengaruh besar bintang Hallyu di Malaysia, malah memperlihatkan semangat luar biasa peminat tempatan yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi menyambut selebriti kesayangan mereka.

Jangan lupa untuk terus menonton S LINE, drama thriller yang kini ditayangkan secara eksklusif di Tonton, dengan dua episod pertama telah dilancarkan serentak dengan siaran di Korea pada 11 Julai lalu. Bersedia untuk terjun ke dunia penuh misteri, aksi dan kejutan dalam S LINE hanya di Tonton.