MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

Intai Peluang Luar Negara dan Kutipan Tambang Ekspres Lebuh Raya: Go Hub Rancak Perluas Segmen Baharu Selepas Cipta Lonjakan Untung 9B TK2026

KUALA LUMPUR — Berbekalkan prestasi kewangan cemerlang bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9B TK2026), Go Hub Capital Berhad (“Go Hub”) kini melangkah agresif meneroka segmen perniagaan baharu serta peluang pasaran luar negara. Pada 24 November 2026, Syarikat melaporkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 49.89% kepada RM7.24 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak 56.98% kepada RM5.40 juta hasil pertumbuhan pendapatan sebanyak 43.10% kepada RM46.22 juta.

Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, En. Tan Cherng Thong, Go Hub terus melabur dalam pembangunan tenaga kerja dan keupayaan teknikal bagi menyokong pelaksanaan projek berskala besar serta pengembangan ke dalam segmen baharu khususnya sistem kutipan tambang automatik untuk perkhidmatan ekspres lebuh raya. Selain itu, Syarikat turut menyertai beberapa tender tempatan secara aktif di samping mengintai peluang pengembangan luar negara dalam sektor bas dan rel untuk memacu pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

Melihat ke hadapan, Go Hub berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada gelombang pendigitalan pengangkutan awam di Malaysia. Ini termasuk peluasan pilihan pembayaran tanpa tunai merentasi rangkaian rel dan bas henti-henti, pembukaan stesen rel baharu di wilayah selatan, serta pengembangan sistem pengurusan barisan teksi. Dengan rizab tunai dan deposit jangka pendek meningkat kepada RM18.19 juta, Kumpulan optimis terhadap prestasi penuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.