Dadali Gegar Zepp KL: Konsert Penuh Emosi & Pengumuman Filem Biopik “Sebuah Kisah

Malam Sabtu di Zepp Kuala Lumpur bertukar menjadi lautan rindu dan kenangan apabila kumpulan pop-Melayu popular dari Indonesia, Dadali, membuat penampilan istimewa dalam konsert sulung mereka di Malaysia bertajuk Dadali Sebuah Kisah Live in Kuala Lumpur. Dihadiri lebih 1,600 peminat setia, konsert ini menjadi bukti bahawa lagu-lagu galau ciptaan mereka masih menambat hati penggemar muzik di tanah air.

Dari detik tirai dibuka tepat jam 9 malam, penonton larut dalam persembahan penuh emosi yang diketuai vokalis utama Dyrga bersama ahli kumpulan Boim (gitar), Rickarjd (gitar melodi), Dendi (keyboard), Hendi (bes) dan Obot (dram). Antara 18 lagu yang dipersembahkan termasuklah hits seperti “Di Saat Sendiri”, “Cinta Jangan Kau Pergi”, “Sakit Teramat Sakit”, “Mendua”, “Aishiteru” dan “Di Saat Aku Tersakiti”. Persembahan turut diserikan dengan kejutan lagu “Dikir Rambong” sebelum penutup padu menerusi lagu ikonik mereka, “Sebuah Kisah”.

Kemunculan khas penyanyi Ronnie Hussein turut memberi sentuhan magis pada malam itu. Membawakan lagu-lagu “Hanya Aku” dan “Harapan” secara solo, Ronnie kemudian berduet bersama Dyrga menerusi lagu “Di Saat Aku Mencintaimu”, mencetuskan sorakan paling gamat daripada penonton yang terhanyut dalam emosi lagu.

Lebih mengujakan, Dyrga turut mengumumkan bahawa kisah perjalanan Dadali selama 16 tahun dari sebuah garaj kecil di Bogor hingga ke pentas antarabangsa akan diabadikan ke layar perak dalam sebuah filem biopik bertajuk Sebuah Kisah. Walaupun hanya disebut sepintas lalu, berita ini disambut tepukan gemuruh, menandakan betapa istimewanya kisah hidup kumpulan ini di mata peminat.

Konsert ini merupakan hasil kolaborasi Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media dan BIZCreations, dengan sokongan penuh Tourism Malaysia bersempena kempen Visit Malaysia 2026. Inisiatif ini membuka ruang kepada jalinan budaya yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia menerusi muzik yang menyatukan.

Kejayaan Sebuah Kisah Live in Kuala Lumpur bukan sahaja memahat satu lagi sejarah manis buat Dadali, malah mengukuhkan kedudukan mereka sebagai “Raja Lagu Galau” serantau. Lagu-lagu mereka yang sarat emosi terus hidup di hati peminat merentas generasi dan sempadan.