TV AlHijrah tampil berbeza sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-15 dengan memilih masjid sebagai pentas utama, bukan dewan eksklusif atau lokasi mewah. Stesen penyiaran Islam negara itu bakal meraikan satu dekad setengah perjuangannya bersama rakyat menerusi Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025, bertempat di Masjid Jamek Beserah, Kuantan, Pahang dari 27 hingga 29 Jun 2025.
Kemuncak sambutan ini adalah program Hijrah Berselawat, siaran langsung eksklusif pada malam Jumaat, 27 Jun bermula jam 9 malam. Gabungan selawat, tausiyah dan seni Islamik ini bakal mengetengahkan nama-nama besar seperti PU Rozi Harun, Ustaz Nadir Al Nuri, Ustaz Tariq Jaffri serta persembahan oleh Lah Ahmad, Zaff VE, Usop Kopratasa dan Al-Maqari. Acara dihoskan oleh Syamsul Debat dan Shamsul Ghau-Ghau.
Pendekatan ini menggambarkan tekad TV AlHijrah untuk terus menyantuni ummah secara langsung – bukan hanya melalui skrin, tetapi di lapangan sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, menyatakan bahawa ulang tahun kali ini adalah simbol perubahan wajah TV AlHijrah sebagai medium dakwah yang lebih dekat dengan rakyat.
“15 tahun ini bukan pengakhiran, ia adalah permulaan kepada peranan lebih besar. TV AlHijrah kini bukan sekadar penyiar, tetapi menjadi pemudah cara kepada masyarakat dalam membina kefahaman Islam yang progresif dan rahmah,” katanya.
Karnival Al-Falah MADANI bukan sekadar sambutan ulang tahun, tetapi turut berperanan sebagai platform komuniti. Sepanjang tiga hari, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti seperti sesi bersama personaliti TV AlHijrah, kuiz agama, edaran cenderamata, rakaman Forum Hal Ehwal Islam, kuliah perdana, serta program bantuan masyarakat.
Acara ini juga bersempena sambutan Maal Hijrah 1447H dan dijangka menghimpunkan ribuan pengunjung dari seluruh negeri Pahang dan kawasan sekitarnya, menjadikannya antara karnival keislaman terbesar di Pantai Timur tahun ini.
Namanzee turut menekankan bahawa Hijrah Berselawat bukan sekadar siaran langsung biasa.
“Ia adalah malam muhasabah dan kesyukuran. Kami mahu rakyat bukan sekadar menonton, tapi menghayati. Inilah dakwah yang hidup – terus menyapa hati.”
TV AlHijrah mengajak seluruh rakyat Malaysia, khususnya penduduk Pantai Timur, hadir menyemarakkan Karnival Al-Falah MADANI dan menjadikan sambutan ini sebagai medan memperkukuh nilai hijrah dalam kehidupan.
