Pasangan adik-beradik yang cukup dikenali dalam industri muzik tanah air, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Mengukir Takdir. Lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer prolifik Wan Saleh bersama Hazwani Helmi sendiri, dengan susunan muzik dan terbitan penuh juga oleh Wan Saleh di bawah kerjasama Alternate Records & Talents.
Mengukir Takdir hadir dengan mesej ketabahan, kekuatan dan kebergantungan kepada Allah SWT dalam menempuh cabaran kehidupan. Inspirasi lagu ini bukan sahaja tercetus daripada semangat perjuangan rakyat Gaza, tetapi juga sebagai peringatan bahawa setiap insan merupakan pejuang dalam kisah hidup masing-masing.
Bagi Heliza dan Hazwani, peluang untuk menyanyikan lagu ini merupakan suatu penghargaan besar. Mereka berkongsi rasa syukur kerana keserasian bersama pasukan Alternate sejak peringkat awal perbincangan membawa kepada idea untuk bekerjasama semula dengan Wan Saleh. Menurut mereka, pengalaman lalu bersama komposer tersebut membantu mencipta keserasian dalam penyampaian vokal dan interpretasi emosi yang mendalam. Dari kerjasama itu, lahirlah Mengukir Takdir, sebuah karya yang bukan sahaja mencabar dari segi teknikal, tetapi juga sarat dengan makna dan jiwa.
Proses rakaman lagu ini mengambil masa yang agak intensif. Rakaman demo dan rakaman akhir masing-masing memakan masa sekitar lima jam, dengan pelbagai cabaran dari segi penyusunan vokal dan keharmonian koir. Menurut mereka, Mengukir Takdir adalah antara lagu yang paling “besar” dalam karier mereka setakat ini kerana menuntut kawalan vokal tinggi, lapisan harmoni yang kompleks, serta penambahan elemen muzik Arab. Dengan bimbingan guru vokal dan panduan Wan Saleh, mereka akhirnya berjaya merealisasikan visi lagu tersebut dengan jayanya.

Keunikan utama Mengukir Takdir terletak pada gabungan genre dan sentuhan spiritual yang mendalam. Pertukaran vokal antara Heliza dan Hazwani, disulami dengan elemen koir serta nuansa Arab, memberikan dimensi baharu kepada karya ini. Walaupun diinspirasikan oleh perjuangan rakyat Gaza, liriknya bersifat universal dan boleh dihayati dari pelbagai sudut – sama ada perjuangan Rasulullah SAW, kasih sayang keluarga, mahupun ujian kehidupan yang dihadapi oleh setiap insan, khususnya wanita.
Heliza dan Hazwani berharap agar lagu ini mampu menyentuh hati pendengar dan menjadi penguat semangat buat mereka yang sedang melalui kesukaran. Mereka menegaskan bahawa setiap manusia adalah pejuang dalam kisah hidup masing-masing, selaras dengan janji Allah dalam Surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6 bahawa sesungguhnya bersama kesulitan pasti ada kemudahan.
Mengukir Takdir juga menjadi penanda kepada kolaborasi pertama antara Heliza & Hazwani Helmi dengan Alternate Records & Talents, yang dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama kreatif di masa hadapan.
Lagu Mengukir Takdir nyanyian Heliza Helmi dan Hazwani Helmi kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti laman rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram serta @alternate.rt_ di TikTok.