Tag: #SuaraDariHati

  • Mengukir Takdir: Langkah The Helmis Dalam Misi Kemanusiaan ke Gaza

    Mengukir Takdir: Langkah The Helmis Dalam Misi Kemanusiaan ke Gaza

    Pasangan adik-beradik yang cukup dikenali dalam industri muzik tanah air, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Mengukir Takdir. Lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer prolifik Wan Saleh bersama Hazwani Helmi sendiri, dengan susunan muzik dan terbitan penuh juga oleh Wan Saleh di bawah kerjasama Alternate Records & Talents.

    Mengukir Takdir hadir dengan mesej ketabahan, kekuatan dan kebergantungan kepada Allah SWT dalam menempuh cabaran kehidupan. Inspirasi lagu ini bukan sahaja tercetus daripada semangat perjuangan rakyat Gaza, tetapi juga sebagai peringatan bahawa setiap insan merupakan pejuang dalam kisah hidup masing-masing.

    Bagi Heliza dan Hazwani, peluang untuk menyanyikan lagu ini merupakan suatu penghargaan besar. Mereka berkongsi rasa syukur kerana keserasian bersama pasukan Alternate sejak peringkat awal perbincangan membawa kepada idea untuk bekerjasama semula dengan Wan Saleh. Menurut mereka, pengalaman lalu bersama komposer tersebut membantu mencipta keserasian dalam penyampaian vokal dan interpretasi emosi yang mendalam. Dari kerjasama itu, lahirlah Mengukir Takdir, sebuah karya yang bukan sahaja mencabar dari segi teknikal, tetapi juga sarat dengan makna dan jiwa.

    Proses rakaman lagu ini mengambil masa yang agak intensif. Rakaman demo dan rakaman akhir masing-masing memakan masa sekitar lima jam, dengan pelbagai cabaran dari segi penyusunan vokal dan keharmonian koir. Menurut mereka, Mengukir Takdir adalah antara lagu yang paling “besar” dalam karier mereka setakat ini kerana menuntut kawalan vokal tinggi, lapisan harmoni yang kompleks, serta penambahan elemen muzik Arab. Dengan bimbingan guru vokal dan panduan Wan Saleh, mereka akhirnya berjaya merealisasikan visi lagu tersebut dengan jayanya.

    Keunikan utama Mengukir Takdir terletak pada gabungan genre dan sentuhan spiritual yang mendalam. Pertukaran vokal antara Heliza dan Hazwani, disulami dengan elemen koir serta nuansa Arab, memberikan dimensi baharu kepada karya ini. Walaupun diinspirasikan oleh perjuangan rakyat Gaza, liriknya bersifat universal dan boleh dihayati dari pelbagai sudut – sama ada perjuangan Rasulullah SAW, kasih sayang keluarga, mahupun ujian kehidupan yang dihadapi oleh setiap insan, khususnya wanita.

    Heliza dan Hazwani berharap agar lagu ini mampu menyentuh hati pendengar dan menjadi penguat semangat buat mereka yang sedang melalui kesukaran. Mereka menegaskan bahawa setiap manusia adalah pejuang dalam kisah hidup masing-masing, selaras dengan janji Allah dalam Surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6 bahawa sesungguhnya bersama kesulitan pasti ada kemudahan.

    Mengukir Takdir juga menjadi penanda kepada kolaborasi pertama antara Heliza & Hazwani Helmi dengan Alternate Records & Talents, yang dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama kreatif di masa hadapan.

    Lagu Mengukir Takdir nyanyian Heliza Helmi dan Hazwani Helmi kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti laman rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram serta @alternate.rt_ di TikTok.

  • Cakra Khan: Malam Penuh Magis di Kuala Lumpur

    Cakra Khan: Malam Penuh Magis di Kuala Lumpur

    Sebuah malam yang dipenuhi emosi, kenangan dan kolaborasi penuh makna telah terpahat dalam sejarah konsert tempatan apabila persembahan terbaharu artis tersohor tanah air membuka tirai dengan susunan baharu dan penampilan istimewa yang tidak dijangka.

    Membuka pentas dengan lagu balada ikonik Setelah Kau Tiada, persembahan diteruskan dengan Persinggahanmu versi susunan baharu yang menyuntik elemen segar namun masih mengekalkan keaslian melodi yang pernah mengusik jiwa ramai. Sorakan hangat daripada penonton turut mengiringi lagu Mencari Cinta Sejati sebelum sang penyanyi mengambil sedikit ruang untuk mengalu-alukan kehadiran para peminat dalam sesi ‘talk set’ yang pertama.

    Kemunculan lagu-lagu popular seperti Kau Memilih Dia, Salah Tapi Baik dan Nanti (susunan baharu) mencetuskan gelombang nostalgia, diikuti penampilan mengejutkan Trio XL untuk lagu Rindu Tak Bersuara, menjadikan suasana semakin hangat dan menggamit emosi. Adalah Aku dan Tak Sejalan turut diberikan nafas baharu, memberi kesegaran kepada keseluruhan persembahan.

    Tidak terhenti di situ, kehadiran dua nama besar — Titi DJ dan Faizal Lubis — menambah prestij apabila mereka membawakan Layar secara berduet, diikuti persembahan penuh penghayatan Sang Dewi oleh kedua-dua artis undangan ini. Momen ini disambut dengan ucapan penghargaan yang tulus kepada kedua-duanya.

    Sorotan utama malam itu termasuk juga lagu baharu menggantikan Cahaya, serta kemunculan Marsha Milan yang menyampaikan Seluruh Cinta dan Hening Rindu dengan vokal memukau. Ade Govinda turut hadir menambahkan semarak dengan lagu duet Masing Masing, Hal Hebat dan Kamu Adalah, menampilkan sinergi suara yang luar biasa bersama penyanyi utama.

    Segmen seterusnya menampilkan lagu-lagu hits seperti Kepada Hati, Terlanjur Cinta, Mencintaimu, serta gabungan dinamik Treasure, Never Felt So Good dan September, mencetuskan aura pesta penuh semangat. Sesi pengenalan band dan ucapan penghargaan menyusul sebelum malam ditutup dengan lagu Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah yang benar-benar menggetarkan.

    Sebagai encore, kejutan paling dinanti muncul apabila lagu I Will Always Love You berkumandang, menyentuh hati segenap lapisan penonton yang berdiri memberi tepukan gemuruh sehingga tirai ditutup.

    Dengan susunan lagu yang segar, kolaborasi mantap dan emosi yang mengalir sepanjang malam, konsert ini membuktikan bahawa magis muzik sentiasa hidup — menyatu jiwa, menghubungkan kenangan, dan menyentuh hati yang mendengar.