Universal Music Malaysia mengorak langkah besar di pentas antarabangsa dengan mempersembahkan pameran istimewa sempena Ekspo 2025 Osaka, Jepun. Bertempat di Hall of Fame Malaysia dalam Pavilion Malaysia, pameran ini meraikan empat ikon muzik tanah air Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Tan Sri P. Ramlee, Ernie Zakri dan DOLLA dari April hingga Oktober tahun ini.
Menjadi tarikan utama di Pavilion Malaysia, Hall of Fame ini memberi peluang kepada pengunjung dari seluruh dunia untuk menyelami keunikan muzik Malaysia melalui pengalaman imersif dan penceritaan visual. Empat figura seni ini dipilih kerana kejayaan mereka merentas era dan generasi daripada legasi abadi Tan Sri P. Ramlee, suara emas Dato’ Sri Siti Nurhaliza, bakat vokal dinamik Ernie Zakri, hingga ke fenomena pop moden DOLLA yang kini menggegar pentas antarabangsa.

Pameran ini memberikan penghormatan kepada karya ikonik dan sumbangan besar Tan Sri P. Ramlee dalam dunia seni. Ia juga membawa penceritaan perjalanan luar biasa Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang telah menjadi lambang keunggulan vokal negara, serta berkongsi kisah kebangkitan Ernie Zakri dalam membawa nafas baharu kepada muzik pop tempatan. Pameran ini juga akan menampilkan penampilan berani DOLLA sebagai wajah baharu muzik pop Malaysia yang kini mencipta nama di peringkat global.
Menerusi pameran ini, pengunjung akan dibawa menyusuri sejarah, pencapaian, dan pengaruh para artis ini dalam membentuk landskap muzik tanah air yang kian berkembang.

Tabby, salah seorang anggota DOLLA berkongsi rasa terujanya, “Tahun 2025 sangat bermakna buat kami. Kami sedang menjelajah ke arah muzik yang lebih matang dan berani, sambil kekal dengan identiti kami sebagai DOLLA. Dilantik ke dalam Hall of Fame Malaysia di Osaka adalah satu penghormatan besar, dan kami ingin berterima kasih kepada MITI serta semua peminat kami, khususnya iDOLLAs yang tidak pernah berhenti menyokong.”
Sementara itu, Ernie Zakri turut meluahkan penghargaan atas pengiktirafan ini. “Saya sangat bersyukur kerana perjalanan seni saya mendapat tempat di hati peminat dan kini diiktiraf di pentas antarabangsa. Terima kasih kepada Universal Music Malaysia dan semua pendengar yang sentiasa menantikan karya-karya baharu saya. Ini adalah satu anugerah yang saya simpan kemas dalam hati.”

Ekspo 2025 Osaka dijangka menerima kehadiran berjuta-juta pelawat sepanjang enam bulan berlangsung. Penyertaan Universal Music Malaysia ini bukan sahaja memperkenalkan kekayaan seni negara kepada dunia, malah menegaskan kedudukan Malaysia sebagai pusat kreativiti dan warisan muzik yang membanggakan.
