Top 8 Cat Fashion Week Diumum: Siapakah ‘Meow-del’ Paling Bergaya Malaysia?

Pertarungan penuh gaya si bulus kini makin hangat! Senarai rasmi Top 8 Cat Fashion Week 2025 akhirnya diumumkan dalam episod khas program NONA Ahad lalu. Sebagai acara realiti pertama seumpamanya di Malaysia yang menampilkan kucing sebagai bintang utama pentas fesyen, Cat Fashion Week bukan sahaja mengangkat kecomelan si manja, malah mengetengahkan keakraban antara pemilik dan haiwan kesayangan mereka.

Daripada ratusan penyertaan yang dihantar dari seluruh negara, hanya 20 kucing terpilih untuk sesi pre-judging. Dalam sesi penjurian yang diketuai oleh Yuen Wai, aspek utama seperti penampilan busana, keyakinan kucing ketika memperagakan pakaian, serta keserasian dengan pemilik menjadi faktor penilaian utama. “Kalau cantik tapi takut, pakaian tak jadi. Kita cari keseimbangan antara gaya dan sikap,” ujar Yuen dengan tegas.

Lapan pasangan kucing dan pemilik yang berjaya menawan hati juri dan mara ke pentas akhir adalah:

  1. Nurul Izzah & Omey (Siberian, Jantan)
  2. Nurul Awwal & Chibu (Domestic Long Hair, Jantan)
  3. Nurmayani & Kristoff (Ragdoll, Jantan)
  4. Siti Rohani & Goyem (Domestic Long Hair, Jantan)
  5. Farahin Zakaria & Junny (Persian, Betina)
  6. Zakry Shazryl & Winter Notty (Munchkin, Jantan)
  7. Anis Halyatie & Evian Evan (Ragdoll, Jantan)
  8. Siti Khadijah & Mocha (Domestic Long Hair, Betina)

Salah satu peserta yang mencuri perhatian ialah Mocha, si manja berbulu lebat yang gemar dimanja seperti anak kecil. Menurut pemiliknya, Siti Khadijah, penyertaan mereka adalah atas dasar suka-suka. “Saya nak cipta memori manis dengan Mocha. Tak sangka boleh sampai ke tahap ini,” katanya sambil tersenyum. Mocha yang berperwatakan manja di rumah tetapi ‘diva’ di luar juga digemari kerana aksi spontan dan berani di hadapan kamera.

Kini, kesemua finalis sedang melalui fasa persiapan intensif, termasuk latihan berjalan di pentas, pemilihan busana khas dan pembentukan ‘chemistry’ bersama pemilik masing-masing. Penonton boleh terus mengikuti kisah mereka menerusi segmen khas Cat Fashion Week dalam program NONA setiap Ahad jam 2 petang di TV3. Bermula 27 Julai 2025, akan disiarkan juga kapsul eksklusif jam 7.50 malam selama tiga minggu berturut-turut.

Pentas akhir yang penuh debaran akan berlangsung pada Ahad, 17 Ogos 2025 jam 9 malam, di mana satu pasangan bakal dinobatkan sebagai Juara Cat Fashion Week 2025, membawa pulang RM5,000 tunai. Tidak cukup dengan itu, tiga anugerah khas – Anugerah Felix, Si Bijak, dan Si Lincah – turut dipertandingkan sebagai pengiktirafan kepada keunikan dan kelincahan si bulus.

Cat Fashion Week dibawakan khas oleh Felix, dengan kerjasama rakan media rasmi Hot FM dan SAYS. Saksikan siapa yang bakal menjulang mahkota runway pertama si bulus di Malaysia hanya di TV3 “Meow Menyala, Gaya Membara!”

Ikuti info terkini di laman sosial rasmi TV3 di @TV3Malaysia di Facebook, Instagram, YouTube dan Twitter.