TIGA LAGU, TIGA BINTANG, SATU MISI – EJEN ALI THE MOVIE 2 KEMBALI MENGGEGAR DENGAN TENAGA BAHARU!

Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kembali ke layar perak dengan impak yang lebih dahsyat, aksi yang lebih mantap dan emosi yang jauh lebih menyentuh! Kali ini, bukan hanya visual dan naratif yang mencuri tumpuan, tetapi juga kekuatan runut bunyi filem yang disempurnakan oleh kolaborasi tiga nama besar – Dato’ M. Nasir, Nidji, dan Hael Husaini – menyuntik jiwa pada setiap detik dalam filem ini.

Ketiga-tiga lagu tema ini bukan sekadar pelengkap suasana, malah menjadi denyut nadi yang menggerakkan emosi, membakar semangat, dan memperkukuh mesej perjuangan yang dibawakan oleh watak Ejen Ali. Dari semangat juang individu, nilai persahabatan hingga kepada keberanian luar biasa, muzik menjadi suara yang membingkai keseluruhan perjalanan epik ini.

‘Hanya Kamu’ – Dato’ M. Nasir
Dengan sentuhan legenda seni suara tanah air, Dato’ M. Nasir, lagu ini membawa kekuatan dalam kesederhanaan. Dicipta oleh Azri Yunus dan ditulis bersama LunaAyla dan Dato’ M. Nasir, Hanya Kamu menyuntik semangat kepada generasi muda untuk terus teguh dalam perjuangan hidup. Vokal penuh jiwa berpadu dengan sentuhan muzik elektronik menjadikan lagu ini sebagai simbol ketabahan Ejen Ali ketika berdepan cabaran dalam dan luar dirinya.

‘Teman Sejati’ – Nidji
Dari seberang, band Indonesia terkenal Nidji menyumbangkan lagu yang menjiwai tema persahabatan sejati dalam EATM2. Dipetik dari album Manifestasi Hati, Teman Sejati ciptaan Andi Ariel Harsya dan diterbitkan Petra Sihombing menjadi irama yang membalut momen-momen getir antara para ejen. Lirik yang jujur dan melodi yang bersahaja menjadikan lagu ini anthem kepada kekuatan ikatan yang tidak mudah goyah.

‘Penjuara’ – Hael Husaini
Hael Husaini tampil dengan satu karya bertenaga tinggi hasil kolaborasi bersama Iqie Hugh. Dengan beat electro pop moden dan lirik yang menggugah jiwa, Penjuara bukan sekadar lagu motivasi, tetapi satu manifesto berani seorang pejuang. Lagu ini menggambarkan keberanian Ejen Ali dalam menghadapi musuh terbesarnya, Neonimus, dan pasti menjadi siulan mereka yang tidak gentar melawan cabaran. Dapatkan Penjuara di semua platform digital minggu depan dan dengarkan di Hot FM serta Kool 101 mulai hari ini.

Gabungan tiga karya muzik yang penuh emosi, disampaikan oleh tiga ikon muzik serantau – inilah magis sebenar Ejen Ali The Movie 2! Setiap lagu melengkapkan dimensi cerita, menjadikan pengalaman menonton lebih mendalam, lebih menyentuh, dan lebih menginspirasikan.

Satu filem. Tiga suara. Seribu semangat.
Bersedia untuk menyelami dunia Ejen Ali seperti belum pernah anda rasai sebelum ini. EATM2 bukan sahaja hiburan, tetapi satu ledakan perasaan yang menyatukan generasi dengan mesej perjuangan yang penuh makna.