SITI HALIJAH LANCAR “SILA-SILA KE MELAKA” – LAGU ISTIMEWA SEMANGAT PELANCONGAN NEGERI BERSEJARAH

Penyanyi tempatan dari Melaka, Siti Halijah kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya yang berjudul “Sila-Sila Ke Melaka”, hasil ciptaan sepenuhnya komposer juga berasal dari negeri yang sama, Anwar Jaapar atau dikenali sebagai Cik Mai.

Menariknya, lagu ini pernah membawa tuah kepada Siti Halijah ketika dipersembahkan di pentas Pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya Se-Malaysia 2011 di mana beliau dinobatkan sebagai juara dan lagu tersebut turut memenangi Anugerah Lagu Terbaik PBT Se-Malaysia. Melihat sambutan yang menggalakkan, beliau dan Cik Mai bersetuju untuk merakamkannya secara rasmi sebagai satu langkah baharu dalam kerjayanya.

“Sila-Sila Ke Melaka bukan sekadar lagu, ia adalah simbol kecintaan saya terhadap negeri kelahiran saya. Lagu ini berinspirasikan keindahan dan kekayaan warisan sejarah negeri Melaka yang diiktiraf UNESCO. Dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2025 yang bakal berlangsung September ini, saya rasa inilah masa terbaik untuk memperkenalkan lagu ini kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujar Siti Halijah.

Lagu ini dirakam semula dengan sentuhan susunan muzik yang lebih segar dan kontemporari oleh Amy Bong, disertai penggubahan lirik berdasarkan tema kepahlawanan Melayu seperti “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”. Ia membawa mesej mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan budaya, bersejarah dan moden.

Siti Halijah yang pernah aktif bersama kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan tampil dalam projek raya “Cinta Lebaran” bersama Noraniza Idris, menganggap rilisan ini sebagai permulaan baharu selepas lebih satu dekad dalam industri muzik.

Single ini diterbitkan oleh syarikat rakaman tersohor, Luncai Emas, yang juga bertindak sebagai pemegang hak cipta lagu serta pengedar digital rasmi. Video muzik “Sila-Sila Ke Melaka” kini boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas, manakala versi audio telah tersedia di semua platform penstriman digital.

“Harapan saya agar lagu ini bukan sahaja diterima baik oleh pendengar, tetapi turut menyumbang kepada usaha memperkenalkan Melaka di mata dunia sebagai destinasi pelancongan unggul,” tambah beliau penuh harapan.

“Sila-Sila Ke Melaka” kini sedia untuk didengari di mana-mana sahaja – jadi, mana lagi? Melaka ler…