Kredibiliti dimiliki penyanyi Adira Suhaimi dalam industri muzik tanahair tiada siapa boleh pertikai. Dia berjaya mencorak kanvas seni tersendiri dengan bakat yang dimiliki. Malah, aura bintang itu sudah terpancar sejak di awal kemunculan kerjaya beliau.
Selepas lebih sedekad dalam industri muzik, Adira sudah merakamkan lebih 10 lagu runut bunyi hingga diberikan jolokan ‘Ratu Soundtrack’.
Terbaharu, Adira sekali lagi berpeluang merakamkan lagu runut bunyi bagi filem ‘Memoir Seorang Guru’ yang diterbitkan oleh Nova Music hasil ciptaan Ayden Ali, Adeef Den, Iqie Hugh serta lirik oleh Datuk Arisz Abd Rahman.
Adira berkata, dia bernasib baik dapat bekerjasama dengan barisan komposer hebat itu selain bangga diberi penghormatan sekali lagi untuk menyanyikan lagu runut bunyi buat filem terbaharu.
“Sebagai penyanyi, saya okey saja menyanyikan sebarang lagu asal sesuai melodi dan liriknya dengan suara saya. Saya tidak terlalu memilih kerana kebanyakan karya lagu diterimaitu memang sedap di dengar. “
“Kepercayaan diberi oleh komposer dan penulis lirik kepada saya untuk merakamkan sesebuah lagu tidak akan saya ambil mudah. Oleh itu, saya akan pastikan beri komitmen penuh pada tanggungjawab yang diberi.
”Saya hanya mampu mengucapkan berbanyak terima kasih di atas segala peluang yangdiberi. Bagi saya, menjadi tanggungjawab saya untuk melakukan yang terbaik dalam kerja rakaman sesebuah lagu,” katanya.
Tidak kisah dengan jolokan ‘Ratu Soundtrack’, naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan itu hanya mahu kekal relevan dalam era muzik semasa.
Adira menyifatkan dirinya bertuah apabila lagu runut bunyi yang dirakamkan kerap diputarkan baik di panggung wayang, kaca televisyen atau radio. Ini sekali gus, dapat mempopularkan lagu yang dinyanyikan.
“Ia umpama promosi secara percuma apabila lagu yang dirakam dijadikan runut bunyi sesebuah filem atau drama rantaian. Jika mahu mengeluarkan bajet untuk mempromosikan lagu di kaca televisyen memerlukan kos yang tinggi. Jadi bila sesebuah lagu kerap dimainkan di dalam filem atau drama rantaian mudah bagi lagu itu melekat di jiwa penonton,” katanya.
Video muzik lagu “Kasih” kini boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan ini https://youtu.be/p86rNp0NWNM.
Filem ‘Memoir Seorang Guru’ bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Mei ini.
Filem adaptasi novel Azizi Hj Abdullah ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor sebagai teraju utama serta pelakon Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa’ri, Trisha Ooi dan ramai lagi.
Filem arahan Kyoll Hamzah ini diterbitkan Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd (KAHSB) dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).