SN Legacy Sdn Bhd hari ini mengumumkan pelancaran single raya terbaharu daripada penyanyi muda, Umairah, yang berjudul “Tak Balik Raya”. Lagu ini kini tersedia di semua platform penstriman digital, memberi kesempatan kepada peminat muzik untuk menikmati karya terbaru Umairah pada musim perayaan ini.
“Tak Balik Raya” mengangkat tema perasaan seseorang yang terpaksa menyambut Hari Raya jauh dari keluarga kerana tuntutan pekerjaan. Lagu ini tidak hanya menyampaikan rasa rindu yang mendalam, tetapi turut menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi yang segar dan menghiburkan, sesuai dengan semangat perayaan.
Menurut Umairah, lagu ini menceritakan tentang realiti yang dihadapi oleh ramai anak-anak rantau menjelang musim perayaan. “Lagu ini menyentuh perasaan, tetapi di samping itu, ia juga membawa harapan. Dengan kemajuan teknologi, walaupun berjauhan, kita masih dapat berhubung dengan keluarga melalui telefon atau media sosial, jadi hati tetap dekat meskipun terpisah jauh,” ujar Umairah.

Lagu ini ditulis oleh Mas Dewangga dan Jova Devito, dan menurut Umairah, lagu tersebut terus menambat hatinya sejak pertama kali mendengar demo beberapa bulan lalu. “Saya tidak perlu berfikir panjang untuk memilih lagu ini. Muziknya dan emosi yang disampaikan sangat dekat dengan perasaan saya sebagai seorang remaja, dan saya sangat teruja untuk merakamkannya,” tambahnya.
Sejak mengeluarkan teaser atau petikan awal lagu ini, Umairah menerima banyak komen positif daripada warganet. “Saya sangat terharu dengan sokongan yang diberikan. Sebagai artis baharu, ini memberi saya lebih semangat untuk terus berkarya,” kata Umairah, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai juara vokal kategori junior di World Championships of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Selain itu, Umairah turut merancang untuk melancarkan video muzik rasmi “Tak Balik Raya” di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia pada 7 Mac 2025, jam 9 malam. Video muzik yang diproduksi oleh Rio Films dan diarahkan oleh Rifaiee Rio ini turut menampilkan penari pengiring yang terdiri daripada rakan-rakan Umairah di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur. “Saya ingin memberikan peluang kepada rakan-rakan saya yang berbakat dalam bidang tari untuk turut serta dalam projek ini. Ia adalah cara saya berkongsi bakat dan memberikan mereka pengalaman dalam industri seni,” jelas Umairah.

Universal Music Sdn. Bhd., yang bertindak sebagai pengedar rasmi, turut memberi sokongan penuh terhadap lagu ini, terutamanya pada bulan Ramadan dan Syawal, untuk memastikan ia dapat dinikmati oleh semua peminat muzik tanah air.
Dengan pelancaran “Tak Balik Raya”, Umairah berharap lagu ini dapat memberi semangat kepada semua yang merasai kesulitan tidak dapat berkumpul bersama keluarga di musim perayaan. “Tak Balik Raya” bukan sahaja menyampaikan perasaan anak rantau, tetapi juga mengajak pendengar untuk meraikan Hari Raya dengan penuh keceriaan meskipun berhadapan dengan cabaran.