KUALA LUMPUR, 17 Februari 2025 – Malam AJL39 menjadi saksi kejayaan manis buat Nadeera apabila berjaya meraih gelaran naib juara, sementara Hael Husaini mempamerkan profesionalisme tinggi meskipun berdepan insiden kecil di atas pentas. Dua bintang Rocketfuel Entertainment ini membuktikan bahawa usaha gigih dan semangat juang tidak pernah mengkhianati hasil.
Nadeera memukau dengan persembahan “Bukan Lagi Kita”, lagu ciptaan Hael sendiri. Meskipun berdepan cabaran teknikal yang memaksa perubahan pada elemen gimik, beliau tetap yakin dan berjaya memberikan persembahan bertenaga. Sorakan gemuruh daripada penonton menjadi bukti betapa lagu itu menyentuh hati ramai.
Hael pula mengalami detik cemas apabila terjatuh semasa persembahan lagu “Diam”. Namun, tanpa sebarang keraguan, beliau segera bangkit dan meneruskan nyanyian. “Insiden itu tidak akan mematahkan semangat saya. Yang penting, saya mahu berikan yang terbaik untuk peminat,” ujarnya selepas persembahan.
Reaksi emosinya sewaktu menyaksikan Nadeera di pentas turut menjadi perhatian. Video beliau mengalirkan air mata tular di media sosial, mencetuskan perbualan hangat mengenai keakraban mereka. Ramai memuji hubungan erat ini sebagai contoh persahabatan sejati dalam dunia hiburan.
Dari segi persiapan, kedua-dua artis tidak mengambil ringan soal latihan. Bimbingan vokal daripada Dato’ Syafinaz Selamat dan Cikgu Azrin Nor menjadi kunci kekuatan persembahan mereka di AJL39.

Selain aspek vokal, penampilan mereka turut menjadi bualan. Hael tampil segak dengan busana Rizman Ruzaini dan mikrofon Swarovski hadiah istimewa, manakala Nadeera memancarkan pesona dalam gaun merah eksklusif diserikan barang kemas mewah.
Rocketfuel Entertainment menyatakan kebanggaan atas pencapaian ini. Lagu ciptaan Hael berjaya dinobatkan sebagai antara yang terbaik, manakala Nadeera membuktikan dirinya sebagai artis yang patut diperhitungkan.
“Saya bersyukur atas rezeki ini dan akan terus berusaha memberikan karya berkualiti,” kata Hael. Nadeera pula menambah, “Duduk di pentas AJL ini sudah jadi impian sejak dulu. Saya berterima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong.”
Selepas AJL39, Rocketfuel Entertainment memberi petunjuk bahawa lebih banyak projek bakal menyusul. Peminat boleh menjangkakan kolaborasi menarik daripada dua bintang ini dalam masa terdekat.