Menjadi Aira & Dira: Cabaran Emosi Terberat Tracie Sinidol Dalam Drama Hilang Dalam Rindu

Written by

in

,

Drama baharu slot Samarinda TV3, Hilang Dalam Rindu, mengangkat kisah penuh misteri dan konflik emosi yang menampilkan pelakon Tracie Sinidol dalam watak utama sebagai Aira Nadira. Drama 20 episod terbitan Suhan Movies & Trading ini mengisahkan perjuangan Aira yang hilang ingatan sepuluh tahun terakhir hidupnya dan terperangkap dalam hubungan rumah tangga penuh rahsia dan luka.

Diarahkan oleh Along Kamaludin, drama ini membawa penonton menyelami pergelutan jiwa Aira yang cuba memulihkan memori dan mengungkap kebenaran di sebalik perkahwinannya dengan Nadim (Jazmy Juma) lelaki yang dingin dan jauh dari kasih sayang. Konflik makin tegang apabila Aira terjebak dalam hubungan toksik dengan adik iparnya dan rahsia yang mempengaruhi segala-galanya.

Menurut Tracie, cabaran terbesar adalah menghidupkan dua versi Aira sebelum dan selepas kehilangan ingatan. “Saya perlu bawa emosi dan bahasa tubuh yang berbeza untuk menunjukkan perbezaan jiwa watak ini. Aira sebelum koma penuh kemarahan dan dendam, manakala selepas koma, dia keliru dan lembut. Ia pengalaman yang sangat bermakna untuk saya,” kata Tracie.

Hilang Dalam Rindu akan mula disiarkan pada 17 Julai 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3 dan juga boleh distrim awal melalui Tonton.

Jangan lepaskan drama yang penuh teka-teki dan emosi ini, kerana setiap ingatan yang hilang menyimpan rahsia yang menunggu untuk terungkai.

Ikuti perkembangan drama ini di media sosial rasmi TV3 dan Drama Sangat di @TV3Malaysia dan @dramasangat.