Persada muzik Malaysia semakin meriah dengan kehadiran sebuah boygroup M-pop baharu, Lucky Nerds. Kumpulan ini tampil dengan single debut berjudul “Lucky Nerds (Anthem)”, sebuah karya yang mengangkat keyakinan diri sambil memperkenalkan identiti unik mereka. Membawa nafas baharu ke industri muzik tanah air, Lucky Nerds berazam mencipta fenomena baharu melalui muzik, tarian, dan seni persembahan.
Siapa Lucky Nerds?
Lucky Nerds terdiri daripada empat anak muda berbakat besar: M.O., Faiz, E.J., dan Ajim. Setiap anggota kumpulan ini membawa kekuatan tersendiri.
- M.O.: Ketua kumpulan, komposer, dan penulis lirik yang sudah sembilan tahun berkecimpung dalam penciptaan muzik.
- Faiz: Pakar tarian moden kontemporari.
- Ajim: Hebat dalam tarian tradisional.
- E.J.: Menguasai muzik rock.
Nama Lucky Nerds bukan sekadar gelaran. Menurut M.O., kumpulan ini memperjuangkan semangat individu berdedikasi yang mendalami minat mereka sepenuh hati. “Kami adalah ‘nerds’ yang beruntung, dan ini adalah doa agar berjaya menawan industri muzik Malaysia,” katanya.
Single Debut: “Lucky Nerds (Anthem)”
Single pertama kumpulan ini, “Lucky Nerds (Anthem)”, adalah pengenalan kepada dunia tentang siapa mereka sebenarnya. Dihasilkan sepenuhnya oleh M.O., lagu ini menggabungkan genre pop, trap, dan boombap yang segar.
“Lagu ini adalah tentang perjalanan kami – dari menghadapi kritikan hingga membuktikan keyakinan diri. Ia adalah anthem untuk semua yang berani mengejar impian,” jelas Faiz.
Walaupun baru bermula dengan single ini, Lucky Nerds merancang menghasilkan mini album yang menggabungkan pelbagai genre seperti R&B, pop, balada, dan rock. Setiap genre mencerminkan minat unik setiap anggota kumpulan. “Kami mahu pendengar menikmati kelainan dan kreativiti yang kami bawakan melalui karya-karya kami,” ujar M.O.
Perjalanan menuju debut mereka tidak mudah. Lagu “Lucky Nerds (Anthem)” telah siap sejak 2023, namun pelancarannya tertangguh kerana cabaran dalaman dan teknikal, termasuk perubahan koreografi saat akhir sebelum penggambaran muzik video. “Setiap cabaran menjadikan kami lebih kuat dan bersatu sebagai kumpulan,” kata E.J. penuh yakin.
Ketua Pegawai Eksekutif ACE Talents, Mdm. Azuein Alonto, memuji potensi besar kumpulan ini. “Lucky Nerds membuktikan bakat tempatan mampu bersaing di peringkat industri. Dengan keunikan dan kepakaran setiap ahli, mereka berpotensi mencipta impak besar, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pentas antarabangsa,” katanya.
Lucky Nerds bercita-cita menghidupkan kembali kegemilangan boygroup pop seperti KRU dan Ruffedge. Mereka juga berharap dapat memperluaskan karya mereka melalui platform besar seperti Big Stage. “Kami mahu dikenali bukan sekadar nama, tetapi melalui setiap karya yang kami hasilkan,” ujar Ajim.
Single “Lucky Nerds (Anthem)” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, dan lain-lain. Video muzik rasmi pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube ACE Talents.