Firdaus Rahmat Bangkitkan Semangat Melawan dalam “Arus & Arah”

Penyanyi versatil Firdaus Rahmat kembali menyapa peminat muzik tempatan dengan karya terbaharu berjudul Arus & Arah, sebuah lagu yang membakar semangat dan menyentuh emosi dengan mesej perjuangan dan kekuatan dalaman. Lebih bermakna, lagu ini juga telah dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) untuk drama bersiri popular Tonton Original Series: Anak-Anak Mafia, yang kini hangat ditayangkan secara eksklusif di platform Tonton.

Diterbitkan oleh Alternate Records, Arus & Arah merupakan hasil ciptaan bersama komposer prolifik John Jeeves dan Iqie Hugh, yang juga bertindak selaku penulis lirik. Lagu ini tampil dengan gabungan melodi pop dan elemen rock moden yang menggambarkan intensiti perjuangan – sejajar dengan naratif dramatik Anak-Anak Mafia yang penuh konflik dan emosi.

“Lagu ini ibarat satu naskhah tentang jiwa yang tak pernah putus asa. Saya percaya ramai yang sedang menghadapi cabaran dalam hidup masing-masing, dan saya harap lagu ini dapat menjadi ‘teman’ untuk mereka terus melangkah,” ujar Firdaus yang menjiwai sepenuhnya setiap bait lirik dan melodi lagu ini.

Menurut Firdaus, proses rakaman mengambil masa hampir dua minggu untuk mencapai interpretasi vokal yang sesuai dengan emosi lagu. “Ia bukan lagu mudah – saya perlu kawal tenaga dan emosi dalam setiap verse dan chorus. Tapi pengalaman itu sangat berbaloi,” katanya.

Sebagai penerbit dan pencetus idea lagu ini, John Jeeves menyatakan inspirasi utama hadir daripada tema utama drama Anak-Anak Mafia sendiri – kisah generasi muda yang dibelenggu konflik moral, keluarga dan harapan. “Kami mahu lagu ini terasa seperti nadi kepada kisah mereka. Sebuah perjuangan yang real dan penuh jiwa,” jelas John.

Dengan vokal kuat dan penghayatan penuh rasa, Firdaus membuktikan bahawa Arus & Arah bukan sekadar lagu – ia adalah manifestasi semangat dan tekad untuk terus melawan arus hidup.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar Arus & Arah di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube. Saksikan juga Anak-Anak Mafia setiap Isnin dan Khamis, hanya di Tonton.

Ikuti perkembangan terkini Alternate Records & Talents menerusi Facebook rasmi mereka, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok untuk kandungan eksklusif serta kemas kini terbaru dari artis naungan mereka.