Nama Bella Astillah terus menjadi sebutan dalam industri hiburan tanah air. Walaupun pernah menghadapi pelbagai cabaran peribadi, penyanyi dan pelakon berbakat ini tetap cekal dan konsisten meneruskan kerjayanya.
Belum lama ini, Bella berganding tenaga dengan Daniesh Suffian, penyanyi, komposer, dan pelakon yang dikenali melalui lagu-lagu popular seperti Terabadi dan Pilihlah Aku, dalam single duet terbaru mereka berjudul “Akhirnya Kamu”. Lagu ini membawa mesej tentang kebahagiaan, ketulusan, dan kesabaran dalam menghadapi kehidupan serta percintaan.
Karya ini lahir daripada kolaborasi kreatif Bella dan Daniesh bersama Azlan Abu Hassan dan Omar K, yang memainkan peranan penting dalam mencipta lagu penuh emosi dan bermakna. Bella menyatakan bahawa lagu ini sangat dekat dengan hatinya. “Lagu ini memberi impak besar kepada hidup saya. Seolah-olah sebahagian daripada diri saya dizahirkan melalui lagu ini. Ia juga menjadi hadiah manis untuk peminat yang selalu meminta lagu-lagu yang membawa kegembiraan,” jelasnya.

Proses rakaman duet ini berjalan lancar dan profesional, menurut Bella. “Daniesh memahami cara saya menyanyi dan cita rasa muzik saya. Kami bekerjasama dengan baik untuk memastikan hasil akhir memuaskan, dan kami berdua sangat gembira dengan keputusan ini.” Dari segi mesej, Bella menekankan bahawa “Akhirnya Kamu” menonjolkan tema kesabaran. “Hidup tidak selalu mudah. Sama ada sesuatu itu datang cepat atau lambat, kesabaran itu penting. Kebahagiaan muncul apabila kita percaya setiap ujian ada hikmah dan membuka peluang untuk orang yang tepat hadir dalam hidup kita,” tambahnya.
Dalam lagu ini, Bella tampil dengan gaya berbeza daripada kebiasaannya yang lebih emosi dan fierce. “Ramai peminat minta lagu yang lebih ceria dan manis. Jadi, lagu ini memang saya dedikasikan khas untuk mereka,” katanya.
Daniesh pula berkongsi bahawa idea untuk duet ini muncul daripada permintaan peminat yang mahu mereka tampil bersama secara rasmi. “Sebelum ini, kami banyak membuat cover lagu, dan ramai yang mahu kami hasilkan lagu bersama. Dari situlah idea Akhirnya Kamu tercetus,” ujarnya. Lagu ini juga ditulis pada saat Bella menghadapi fasa sukar dalam hidup, bertujuan memberi semangat dan sokongan agar beliau terus kuat.
Rakaman muzik video turut meninggalkan pengalaman manis bagi Daniesh. “Rakaman MV sangat menyeronokkan, extras sporting, lokasi cantik, shot pun menjadi, dan team production sangat profesional. Semua itu membuat hasil akhir melebihi jangkaan saya,” katanya. MV mengisahkan dua individu yang pernah terluka dan menutup hati mereka selepas pengalaman cinta lalu. Namun, pertemuan baharu membawa rasa yang berbeza, seolah-olah cinta sejati akhirnya ditemui.
Lebih daripada sekadar lagu cinta, “Akhirnya Kamu” menjadi simbol kekuatan, harapan, dan penghargaan terhadap perjalanan hidup. Lagu ini menunjukkan bahawa setiap ujian dan kesabaran akhirnya akan membawa kebahagiaan yang dinanti. “Akhirnya Kamu” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, manakala muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia sejak 6 Oktober 2025.