Penyanyi popular Ara Johari, yang baru-baru ini melalui fasa putus cinta, meluahkan rasa kesakitan tersebut melalui single baharunya berjudul ‘Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL)’. Lagu ini dilahirkan dengan penuh emosi dan berentak balada yang pasti menyentuh hati sesiapa sahaja yang pernah mengalami situasi serupa.
Ara, nama sebenar Nurfarrah Izzatie Binti Johari, 27, mengakui bahawa lagu ini mempunyai makna mendalam baginya. “Saya jatuh cinta pada lagu ini sebaik sahaja mendengar demo-nya. Ketika itu, saya sedang melalui detik-detik sukar, dan lagu ini seolah-olah menggambarkan kesakitan yang saya rasa,” ujarnya. Dia yakin bahawa pendengar yang pernah mengalami putus cinta dan melihat bekas kekasih mereka berkahwin dengan orang lain akan merasai sentuhan mendalam dari lagu ini.
‘Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL)’ merupakan karya ciptaan komposer dari Indonesia, Ilham Baso, yang juga telah menyumbang lagu kepada penyanyi terkenal seperti Judika. Gubahan muzik untuk lagu ini dilakukan oleh Adrian Rahmat Purwanto, seorang penggubah muzik terkenal dari Indonesia yang terkenal dengan kerjasamanya dengan artis seperti Mahalini, Lyodra, dan Keisya Levronka. Rakaman lagu ini dilakukan di Bro’s Studio, Jakarta, dengan bimbingan vokal daripada Bowo Soulmate.
Ara Johari meluahkan rasa syukur atas peluang bekerja dengan pemuzik berpengalaman dari Indonesia. “Saya rasa bertuah dapat berkolaborasi dengan pemuzik-pemuzik handal dari Indonesia. Ia adalah satu pengalaman baru dalam kerjaya seni saya. Proses rakaman berjalan lancar dan mereka mudah untuk diajak bekerjasama,” tambahnya.
Single ‘Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL)’ kini telah dilancarkan dan boleh didengari di semua platform streaming mulai 31 Julai 2024. Edaran Universal Music Malaysia ini diharapkan dapat menarik perhatian pencinta muzik dan memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang pernah merasai kesedihan hati.