“PERJALANAN”: Kolaborasi Penuh Emosi Antara Andi Rianto & Ernie Zakri Menyampaikan Kisah Hidup Melalui Muzik

Andi Rianto & Ernie Zakri - Perjalanan

Penyanyi berbakat tanah air, Ernie Zakri, kembali dengan sebuah karya baharu yang sarat dengan emosi berjudul “Perjalanan”, hasil kolaborasi istimewa bersama komposer dan produser terkenal Indonesia, Andi Rianto. Lagu ini menampilkan lirik yang sepenuhnya ditulis oleh Ernie Zakri sendiri, manakala komposisi dan produksi muzik diselia oleh Andi Rianto, menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja mendalam, tetapi juga penuh penghayatan dan jiwa. “Perjalanan” menyelami kisah hidup, pengalaman, dan cabaran yang telah dilalui kedua-dua artis sepanjang perjalanan mereka dalam industri muzik, membawa mesej tentang ketabahan, harapan, dan nilai setiap pengalaman yang membentuk diri seseorang. Melodi yang puitis dan lirik yang jujur menjadikan lagu ini refleksi yang mampu menghubungkan pendengar dengan pengalaman peribadi mereka sendiri.

Menurut Ernie, idea untuk menghasilkan “Perjalanan” tercetus sewaktu sesi awal kerjasama mereka. “Idea lagu ini muncul apabila Andi meminta saya menulis lirik sendiri berdasarkan perasaan dan pengalaman saya. Pada ketika itu, masing-masing teringat perjalanan hidup yang penuh suka duka, dan daripada situ kami putuskan untuk menulis lirik berdasarkan pengalaman sebenar,” jelas Ernie. Proses ciptaan lagu ini berlaku secara spontan dan organik, dengan melodi dan alunan muzik yang mengalir secara semula jadi sepanjang sesi workshop bersama Andi Rianto. Bagi Andi, inspirasi utama komposisi ini datang daripada sosok Ernie sendiri. Beliau melihat pengalaman, suka duka, dan perjalanan hidup Ernie dalam industri sebagai elemen utama yang membentuk jiwa lagu ini.

Kolaborasi antara Ernie Zakri dan Andi Rianto berjalan dengan sangat lancar dan natural. Ernie menyatakan bahawa beliau tidak menjangkakan proses kreatif ini akan semudah itu, kerana Andi Rianto memberi kebebasan sepenuhnya untuk menulis kisah sendiri, sambil membentuk melodi yang selari dengan cerita dan emosi yang ingin disampaikan. Walaupun elemen muzik Andi Rianto sangat jelas, identiti dan penyampaian Ernie tetap menjadi tunjang utama lagu ini, menjadikan karya ini sangat personal dan autentik.

Sebagai produser, Andi Rianto menekankan bahawa elemen paling penting dalam “Perjalanan” ialah vokal Ernie Zakri. Teknik, tone, dan paling utama emosi yang dibawa ketika menyanyi adalah kunci yang mahu ditonjolkan. Cabaran terbesar bagi Andi bukan aspek teknikal, tetapi memastikan bakat dan kehebatan Ernie diserlahkan sepenuhnya, bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai penulis lagu. Lagu ini juga menjadi platform untuk menonjolkan kekuatan penceritaan Ernie dan kemampuan beliau menyampaikan mesej melalui muzik dengan penuh jiwa.

Selain daripada penghasilan single ini, “Perjalanan” dipilih sebagai lagu tema bagi drama terbaharu TV3, Cinta Anak Lorong, menjadikan karya ini lebih relevan dalam penceritaan visual. Vokal Ernie yang penuh jiwa digabungkan dengan susunan muzik yang dramatis dan emosional dijangka menjadi pelengkap utama bagi naratif drama tersebut. Ernie berharap lagu ini mampu menjadi ruang untuk pendengar merasa difahami dan dihubungkan dengan perjalanan hidup mereka sendiri, sambil menekankan mesej positif bahawa setiap pengalaman, walau pahit atau manis, mempunyai nilai tersendiri dan membawa harapan di penghujungnya.

Seiring dengan pelancaran “Perjalanan”, Ernie Zakri turut mengumumkan perancangan untuk mengadakan sesi fan meeting bagi mendekatkan lagi peminat dengan karya-karya beliau, termasuk lagu-lagu baharu. Single ini kini boleh didengarkan di semua platform digital, membolehkan peminat dan pendengar menikmati keindahan melodi dan penceritaan penuh emosi daripada salah seorang penyanyi paling berbakat di Malaysia. “Perjalanan” bukan sahaja menandakan evolusi muzik Ernie, tetapi juga memperlihatkan keupayaan kolaborasi antara dua generasi kreatif yang berjaya menghasilkan karya yang menyentuh hati.