Dikenali ramai sebagai vokalis utama kumpulan pop punk terkenal Bunkface, Sam kini mencipta langkah baharu dengan identiti solo sebagai SAMSOL. Menerusi pelancaran single sulung berjudul “BORAK”, beliau menampilkan sisi peribadi dan matang yang membawa pendengar menyelami pentingnya komunikasi jujur dalam perhubungan.
“BORAK” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital dan menonjolkan gabungan melodi pop yang mudah melekat di kepala bersama lirik yang menggambarkan realiti pasangan dalam hubungan jangka panjang. Lagu ini menyeru kepada perbualan yang ikhlas, walaupun tentang perkara-perkara kecil yang sering dianggap remeh, tetapi sebenarnya mampu menyelamatkan dan menguatkan sesebuah hubungan.
Dalam kenyataan rasmi, SAMSOL berkata ilham untuk lagu ini datang daripada pemerhatian terhadap dinamika pasangan yang sudah lama bersama bagaimana mereka kadangkala lupa untuk benar-benar bercakap dari hati ke hati.

“Saya tulis ‘BORAK’ sebab saya rasa sangat penting untuk pasangan, terutama yang sudah lama bersama, untuk terus bercakap secara jujur dan terbuka,” kata SAMSOL. “Kadang-kadang, borak yang paling simple pun boleh buat hubungan terus kuat.”
Meskipun peminat telah lama mengenali kekuatan vokalnya dalam lagu-lagu rancak bersama Bunkface, “BORAK” membuktikan bahawa SAMSOL juga mampu menyentuh jiwa menerusi lirik yang lebih introspektif dan emosional. Lagu ini menunjukkan kematangan artistiknya serta komitmen untuk berkarya dengan lebih jujur dan dekat dengan kehidupan sebenar.
Sebagai langkah pertama dalam kerjaya solonya, SAMSOL tidak meninggalkan semangat asal Bunkface, tetapi membawa ia ke dimensi baharu lebih dewasa, lebih jujur, dan lebih dekat dengan hati.
Dengarkan “BORAK” hari ini di semua platform digital:
🔗 https://samsol.lnk.to/BORAK
