Anugerah Melodi Terhangat 2025 Bakal Gegarkan Malaysia: Aura Selebriti, Kuasa Digital & Ledakan Gaya Menyala!

Dunia hiburan Malaysia bakal menyaksikan kemunculan semula paling epik apabila TV3 dan Tonton mempersembahkan Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025), sebuah anugerah yang merangkul budaya pop semasa dan digerakkan sepenuhnya oleh suara rakyat. Selepas hampir sedekad menyepi, Anugerah Melodi tampil semula dengan identiti baharu yang lebih segar, lebih dinamik dan tentunya lebih terhangat daripada sebelumnya.

Sebagai kesinambungan kepada jenama ikonik Melodi yang telah bertapak sejak 1993, AMT 2025 mempersembahkan evolusi hiburan moden, meraikan bukan hanya selebriti popular, tetapi juga personaliti digital, momen viral dan pencapaian yang mencipta gelombang dalam dunia seni dan media sosial. AMT 2025 turut memperkenalkan 11 kategori utama termasuk Selebriti Drama Sangat Terhangat, Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat, serta Selebriti Trending Terhangat.

Malam kemuncak AMT 2025 bakal berlangsung secara langsung pada 3 Ogos 2025 di TV3 dan Tonton, dengan hos serasi Ain Edruce dan Fikry Ibrahim yang menjanjikan persembahan penuh glamor dan jenaka. Karpet merah akan dibakar dengan kehadiran duo berpengaruh Fiza Frizzy dan Imran Aqil melalui saluran TikTok Melodi Berapi. Paling dinantikan ialah penyampaian Anugerah Melodi Terhangat 2025 – Ultimate Award dan Anugerah Pilihan PROTON X50 Superstar.

Dengan pendekatan undian 100% daripada peminat, AMT 2025 memberi kuasa sepenuhnya kepada penonton untuk menentukan siapa yang benar-benar ‘terhangat’ di Malaysia. Proses undian kini dibuka menerusi Tonton, dan hanya pelanggan TontonUP layak mengundi dan menyumbang suara kepada artis kegemaran mereka setiap hari sehingga 31 Julai ini.

Dikuasakan oleh Samsung Galaxy dan disokong penuh oleh PROTON sebagai Rakan Rasmi, AMT 2025 turut disemarakkan dengan Jelajah Melodi Terhangat Superstar Tour yang akan menjelajah ke Johor Bahru, Bukit Mertajam dan Kuantan sepanjang bulan Julai. Di lokasi ini, peminat boleh menyaksikan kehebatan All-New PROTON X50 dan bertemu selebriti pilihan secara langsung.

Menurut Puan Marlia Zul Amran dari TV3, AMT 2025 bukan sekadar anugerah, tetapi satu revolusi budaya pop yang meraikan gaya hidup, teknologi dan impak sebenar selebriti masa kini. “Ini adalah pentas untuk semua yang benar-benar membakar pentas hiburan – dari suara rakyat, untuk rakyat,” katanya.

Dengan barisan pencalonan yang meriah, gandingan pengacara mantap dan kempen digital yang menyeluruh, Anugerah Melodi Terhangat 2025 bukan sahaja menjadi simbol kebangkitan hiburan Malaysia – malah turut menetapkan penanda aras baharu dalam landskap anugerah tempatan.