Ejen Ali Kini di Durioo+: Siri Musim Pertama Ditayangkan Bermula 21 Jun 2025

Platform penstriman kandungan kanak-kanak, Durioo+, dengan sukacitanya mengumumkan bahawa siri animasi popular Ejen Ali Musim 1 akan mula ditayangkan secara rasmi di Durioo+ bermula 21 Jun 2025. Siri animasi aksi yang terkenal dengan jalan cerita futuristik dan sarat dengan elemen teknologi ini kini boleh diakses oleh seisi keluarga dengan lebih mudah dan selamat melalui platform penstriman Durioo+.

Durioo+ juga berasa bangga dan ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan produksi WAU Animation dan Primeworks Studios atas kejayaan luar biasa filem Ejen Ali The Movie 2 yang telah mencatat kutipan tiket sebanyak RM55.1 juta. Kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa animasi tempatan mampu mencipta impak besar di kalangan penonton Malaysia dan rantau ini.

Sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada industri animasi tempatan, Durioo+ turut menghadiahkan 200 tiket percuma kepada pelanggan setianya untuk menyaksikan tayangan perdana dan malam gala filem Ejen Ali The Movie 2 yang berlangsung pada 19 Mei 2025 di IOI City Mall.

Menurut Nuown Zainal, pengasas bersama Durioo+, Ejen Ali merupakan salah satu animasi tempatan yang sangat dibanggakan bukan sahaja kerana kualitinya yang tinggi tetapi juga kerana mesej-mesej positif yang disampaikan seperti semangat pantang menyerah, persahabatan dan kebijaksanaan menyelesaikan masalah. Disebabkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam siri ini, ramai ibu bapa yang telah meminta agar Ejen Ali ditayangkan di Durioo+. Kini, permintaan itu telah kami realisasikan.

Kehadiran Ejen Ali dalam platform Durioo+ turut memperkukuh katalog kandungan animasi tempatan sedia ada yang merangkumi judul-judul terkenal seperti Bola Kampung, Upin Ipin, Robozeta, Alif Anis, Bubu Lala dan BoBoiBoy. Ia selaras dengan misi Durioo+ untuk terus menjadi platform utama bagi kandungan kanak-kanak yang menyeronokkan dan selamat, seiring dengan slogan “fun and safe screen time”.

Durioo+ kini menyokong penstriman di empat peranti serentak dan menawarkan lebih daripada 18,000 video yang boleh ditonton secara selamat oleh kanak-kanak. Platform ini turut hadir dengan ciri istimewa seperti DuDeen yang membantu anak-anak belajar dan menghafal doa secara interaktif, serta DuMinis dan DuReels iaitu koleksi video pendek yang bermanfaat dan sarat dengan nilai-nilai murni.

Pelanggan baharu Durioo+ boleh menikmati akses penuh selama tujuh hari secara percuma dengan memuat turun aplikasi Durioo+ melalui Google Play Store atau Apple App Store, atau melayari laman rasmi di www.duriooplus.com.

Untuk bahan visual dan media berkaitan, sila rujuk Kit Media – Ejen Ali x Durioo.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi
press@duriooplus.com
www.duriooplus.com