Watak animasi kebanggaan Malaysia, Ejen Ali, terus mengorak langkah luar biasa apabila diberi penghormatan untuk mewakili negara di pentas berprestij World Expo 2025 yang kini berlangsung di Osaka, Jepun.
Sebagai simbol aspirasi belia Malaysia dalam era digital dan teknologi masa depan, kehadiran Ejen Ali bukan sekadar meraikan pencapaian industri animasi tempatan, malah mencerminkan kemajuan bakat kreatif negara yang kini semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Turut hadir bersama ialah watak popular Ejen Alicia, menjadikan kehadiran mereka di Pavilion Malaysia antara tarikan utama. Pengunjung dari pelbagai negara dilihat sanggup beratur panjang semata-mata untuk bergambar dan bertemu wira animasi ini, sekali gus membuktikan bahawa IP tempatan mampu mencipta gelombang global.
Watak-watak ini mewakili nilai sejagat seperti keberanian, integriti dan kesetiaan, yang mudah diterima dan difahami oleh masyarakat pelbagai budaya. Malah, visual dinamik dan naratif yang mengangkat semangat juang serta identiti Malaysia berjaya menarik perhatian pengunjung, termasuk mereka yang pertama kali mengenali Ejen Ali.

Salah satu momen paling mengharukan ialah apabila seorang kanak-kanak Jepun, selepas menonton treler Ejen Ali, kembali ke booth dan dengan penuh semangat berkata:
“I want to be like him!”
Kata-kata itu menggambarkan betapa kuatnya mesej dan inspirasi yang dibawa oleh wira animasi negara ini.
Pengarah Ejen Ali The Movie 2 merangkap Ketua Pegawai Kandungan WAU Animation, Encik Usamah Zaid Yasin, turut turun padang ke Pavilion Malaysia pada 21 dan 22 Julai. Dalam sesi perkongsian istimewa bersama pengunjung, beliau mendedahkan proses kreatif di sebalik pembangunan francais Ejen Ali dan menjelaskan visi WAU Animation untuk menghasilkan kandungan animasi bertaraf dunia.
Sambutan terhadap sesi tersebut amat memberangsangkan, termasuk daripada para profesional industri kreatif Jepun yang menyuarakan minat untuk menjalin kerjasama. Ini membuka peluang kepada kemungkinan kolaborasi antara dua negara dalam bidang animasi dan kandungan digital.
World Expo 2025 dijangka menarik lebih 28 juta pengunjung sepanjang penganjurannya dari 13 April hingga 13 Oktober 2025. Sebagai platform global yang menghimpunkan inovasi, teknologi dan budaya dari seluruh dunia, penyertaan Ejen Ali mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam bidang kreativiti digital, pendidikan teknologi dan diplomasi budaya.
Selepas mencetus impak di Indonesia dan kini mencuri perhatian di Jepun, satu persoalan terus bermain di minda peminat:
Ke manakah destinasi Ejen Ali seterusnya?
Yang pasti, kerja kita belum selesai.