Selepas hanya 18 hari ditayangkan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) terus mencipta kejutan apabila berjaya mengumpul kutipan pecah panggung sebanyak RM50.7 juta, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai filem animasi tempatan nombor satu sepanjang zaman. Kejayaan ini bukan sahaja menjadi pencapaian besar dalam industri filem, malah menjadi simbol keyakinan rakyat Malaysia terhadap mutu karya animasi tempatan yang kian berkembang pesat.
Sejak mula ditayangkan pada 22 Mei 2025, EATM2 telah menerima sambutan luar biasa daripada penonton pelbagai peringkat umur. Dengan gabungan naratif menyentuh emosi, aksi mendebarkan dan visual bertaraf antarabangsa, filem ini bukan sahaja menarik perhatian penonton baharu, malah mencetuskan fenomena tontonan berulang oleh para peminat setia francais Ejen Ali.
Menurut pengarah filem, Usamah Zaid Yasin, kejayaan ini adalah hasil sokongan berterusan para peminat dan kesungguhan pasukan di belakang tabir. “Alhamdulillah, sambutan yang diberikan kepada EATM2 benar-benar luar biasa. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong, termasuk pasukan produksi Primeworks Studios dan WAU Animation yang berusaha tanpa henti untuk memasarkan filem ini secara kreatif dan berani. Tidak dilupakan para penonton setia yang telah memilih filem ini sebagai hiburan seisi keluarga.”
Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios pula berkata, “Kejayaan EATM2 membuktikan bahawa kandungan animasi buatan Malaysia mampu menyaingi karya antarabangsa apabila diberi peluang dan sokongan sewajarnya. Lebih penting, ia mengukuhkan lagi komitmen kami untuk terus melabur dalam industri animasi tempatan dan mewujudkan lebih banyak kolaborasi strategik ke peringkat global.”
Momentum positif EATM2 turut melangkaui sempadan negara. Selepas mencatat kejayaan di Malaysia dan Brunei, filem ini mula ditayangkan di Singapura bermula 5 Jun dan dijadualkan memasuki pasaran Indonesia pada 27 Jun. Usaha ini menjadi langkah penting dalam memperluas capaian animasi tempatan ke rantau Asia Tenggara, termasuk membuka peluang baharu dalam pelesenan dan pembarangan seperti pakaian, alat tulis, permainan dan barangan berjenama Ejen Ali.
Filem EATM2 masih ditayangkan di pawagam seluruh negara dan terus mencetuskan gelombang baharu dalam kalangan penonton. Rakyat Malaysia diseru untuk terus memberi sokongan demi merealisasikan impian menjadikan EATM2 sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.
Satria, Bangkit! Saksikan filem aksi animasi yang penuh semangat dan bertenaga ini di pawagam berhampiran anda. Jangan lupa kongsi pengalaman anda di media sosial dengan tanda pagar rasmi:
#ejenalithemovie2 #EATM2 #ejenali #letsplay #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan