Legasi P. Ramlee Hidup Kembali!

Satu malam penuh magis bakal menghiasi pentas Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 20 September 2025, apabila Konsert Legasi P. Ramlee dianjurkan oleh Tanahair Films Sdn. Bhd., sebagai sebahagian daripada inisiatif besar Projek Perdana P. Ramlee.

Diterajui dua tokoh seni tanah air, Dato’ Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi satu usaha menyemarakkan kembali semangat dan pesona seni Melayu yang diasaskan oleh seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Menggabungkan kekuatan 60 pemuzik orkestra di bawah pimpinan empat nama besar Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen, penonton akan dihidangkan lebih 30 karya agung P. Ramlee dalam susunan klasik, moden dan kontemporari, termasuk persembahan solo, duet dan medley yang mengusik rasa dan memori.

Barisan artis yang bakal menyerikan malam penuh nostalgia ini termasuklah Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, MimiFly, Liza Hanim dan Nadeera, masing-masing membawa interpretasi tersendiri terhadap lagu-lagu ikonik P. Ramlee.

Lebih istimewa, tiga figura istimewa P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee, yang dikenali sebagai impersonator P. Ramlee, akan menghidupkan kembali pesona beliau menerusi gaya suara, penampilan dan persembahan penuh emosi.

Menurut Dato’ Khairul, konsert ini bukan hanya hiburan, tetapi “jambatan yang menghubungkan generasi dan menyatukan nilai seni sepanjang zaman.” Adlin pula menegaskan, ia bakal menjadi malam yang “menyentuh hati, membangkitkan kenangan, dan membawa penonton merentas masa ke era keemasan.”

Tiket mula dijual pada 27 Jun 2025 melalui www.ticket2u.com.my. Ikuti perkembangan di media sosial rasmi: @konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms, dan @legasipodcast di Facebook, Instagram dan TikTok.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan malam penghormatan agung ini tempat di mana legasi tidak pernah mati, tetapi hidup kembali!