Kolaborasi Baru! Adira Suhaimi Perkenalkan “Rayu Hatiku” Bersama Alternate Records
3 min read
Ekspresi Emosi Adira Suhaimi Menyemarakkan Kisah Cinta Drama “Samarinda, Bisik Asmara”
Penyanyi berkaliber, Adira Suhaimi, kembali menyentuh hati pendengar menerusi single terbaharu berjudul “Rayu Hatiku”, sebuah balada penuh emosi yang dipilih sebagai lagu tema drama Samarinda, Bisik Asmara. Mengangkat tema pengorbanan dan harapan yang terpendam, lagu ini menambah kedalaman sentimen pada jalan cerita drama tersebut.
Rayu Hatiku menceritakan luahan seorang wanita yang terluka akibat dikhianati insan tersayang. Tanpa kemarahan atau penentangan, lagu ini menyorot rasa kehilangan, kerapuhan dan harapan yang pudar, menjadikannya dekat dengan realiti perasaan pendengar yang pernah melalui pengalaman serupa. Menurut Adira, peluang ini disambut dengan rasa syukur dan tanggungjawab, “Selagi sesebuah karya itu serasi dengan genre dan jiwa saya, peluang sebegini tidak akan saya lepaskan,” ujarnya.
Dari segi persembahan vokal, lagu ini menuntut penghayatan mendalam, dengan kawalan vokal yang halus agar emosi sedih dan keikhlasan sampai ke hati pendengar. Menurut Affan Mazlan, lagu ini merupakan balada bertenaga dengan sentuhan muzik gelap dan suram, termasuk elemen kabaret dan muzik desa yang diinspirasikan daripada era 1960-an dan 1970-an, memberi identiti tersendiri kepada karya ini. Affan menekankan bahawa lagu ini bukan tentang kemarahan, tetapi tentang rasa tidak dihargai dan kesedihan yang mendalam, di mana vokal Adira melengkapkan keseluruhan emosi lagu tersebut.
“Rayu Hatiku” menandakan kolaborasi pertama Adira Suhaimi bersama Alternate Records dan kini boleh didengari di platform digital termasuk YouTube Music dan Spotify. Lagu ini dijangka menjadi pelengkap emosi kepada drama Samarinda, Bisik Asmara, sekaligus mengukuhkan kedudukan Adira sebagai salah seorang penyanyi balada terkemuka tanah air.
Untuk maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, ikuti mereka di Facebook, Instagram @alternate.my_, dan TikTok @alternate.rt_.