TOMOK PERKENAL SINGLE TERBAHARU “BUAH HATI” DENGAN KONSEP ISTIMEWA BERSAMA PEMINAT

Kuala Lumpur | 30 JAN 2026 – Penyanyi dan komposer tersohor tanah air, Tomok, membuka tirai tahun 2026 dengan penuh makna menerusi pelancaran single terbaharu berjudul Buah Hati, sebuah karya yang sarat dengan elemen kekeluargaan, kasih sayang dan keikhlasan emosi. Lagu ini menampilkan sisi peribadi Tomok sebagai seorang anak dan bapa, dengan mesej utama yang menzahirkan kasih sayang ibu bapa yang tulus tanpa syarat—melindungi, membimbing, berkorban serta sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anak agar membesar dengan baik, kuat dan seimbang dari segi emosi serta rohani.

“Buah Hati” merupakan hasil ciptaan Tomok bersama Barr Hadif, manakala liriknya digarap dengan penuh jiwa oleh Fedtri Yahya. Gabungan melodi yang menyentuh perasaan dan lirik yang jujur menjadikan lagu ini mudah meresap ke dalam hati pendengar, khususnya golongan ibu bapa dan keluarga. Menurut Tomok, lagu ini diciptakan khas buat insan-insan tersayang dalam hidupnya dan dianggap sebagai permulaan yang baik untuk perjalanan seninya pada tahun 2026. Beliau turut menyatakan harapan agar mesej lagu ini dapat diterima dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat.

Menariknya, pelancaran single ini turut disertai dengan pendekatan istimewa apabila Tomok menampilkan video lirik rasmi yang memaparkan foto-foto peminat bersama keluarga dan insan tersayang yang dihantar sendiri oleh mereka. Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan nilai kasih sayang dan kebersamaan yang diketengahkan dalam lagu, malah memperlihatkan usaha Tomok untuk mendekati peminat dengan lebih dekat serta meraikan hubungan emosi yang terjalin antara artis dan penyokong setianya. Pendekatan ini turut mendapat perhatian ramai kerana jarang dilakukan dalam pelancaran sesebuah single tempatan.

Tomok, atau nama sebenarnya Shah Indrawan, memulakan kerjaya seni seawal usia 15 tahun bersama kumpulan New Boyz sekitar tahun 1999 sebelum terus mencipta nama sebagai artis solo. Kemenangannya dalam program realiti One In A Million menjadi titik penting yang mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura berpengaruh dalam industri muzik Malaysia. Sepanjang kerjayanya, beliau konsisten menghasilkan karya berkualiti, termasuk kolaborasi bersama Siti Nordiana menerusi lagu “Memori Mungkin Berulang” serta “Gelora Jiwa Meronta Asmara”, yang menerima sambutan positif daripada peminat.

Selain aktif sebagai penyanyi, Tomok juga berjaya mengembangkan kerjaya sebagai komposer dan usahawan seni melalui penubuhan Popsicle Records pada tahun 2018. Syarikat ini telah menganjurkan pelbagai konsert di dalam dan luar negara serta menerbitkan karya muzik untuk beberapa artis terkenal, termasuk sebuah lagu dalam album Siti Nurhaliza. Single “Buah Hati” diterbitkan oleh Popsicle Records dan diedarkan secara digital di bawah label Luncai Emas, yang turut mentadbir hak cipta lagu dan lirik, selaras dengan status Tomok sebagai komposer eksklusif di bawah label tersebut. Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala video lirik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Popsicle Records.