Tag: #Tomok

  • TOMOK PERKENAL SINGLE TERBAHARU “BUAH HATI” DENGAN KONSEP ISTIMEWA BERSAMA PEMINAT

    TOMOK PERKENAL SINGLE TERBAHARU “BUAH HATI” DENGAN KONSEP ISTIMEWA BERSAMA PEMINAT

    Kuala Lumpur | 30 JAN 2026 – Penyanyi dan komposer tersohor tanah air, Tomok, membuka tirai tahun 2026 dengan penuh makna menerusi pelancaran single terbaharu berjudul Buah Hati, sebuah karya yang sarat dengan elemen kekeluargaan, kasih sayang dan keikhlasan emosi. Lagu ini menampilkan sisi peribadi Tomok sebagai seorang anak dan bapa, dengan mesej utama yang menzahirkan kasih sayang ibu bapa yang tulus tanpa syarat—melindungi, membimbing, berkorban serta sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anak agar membesar dengan baik, kuat dan seimbang dari segi emosi serta rohani.

    “Buah Hati” merupakan hasil ciptaan Tomok bersama Barr Hadif, manakala liriknya digarap dengan penuh jiwa oleh Fedtri Yahya. Gabungan melodi yang menyentuh perasaan dan lirik yang jujur menjadikan lagu ini mudah meresap ke dalam hati pendengar, khususnya golongan ibu bapa dan keluarga. Menurut Tomok, lagu ini diciptakan khas buat insan-insan tersayang dalam hidupnya dan dianggap sebagai permulaan yang baik untuk perjalanan seninya pada tahun 2026. Beliau turut menyatakan harapan agar mesej lagu ini dapat diterima dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat.

    Menariknya, pelancaran single ini turut disertai dengan pendekatan istimewa apabila Tomok menampilkan video lirik rasmi yang memaparkan foto-foto peminat bersama keluarga dan insan tersayang yang dihantar sendiri oleh mereka. Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan nilai kasih sayang dan kebersamaan yang diketengahkan dalam lagu, malah memperlihatkan usaha Tomok untuk mendekati peminat dengan lebih dekat serta meraikan hubungan emosi yang terjalin antara artis dan penyokong setianya. Pendekatan ini turut mendapat perhatian ramai kerana jarang dilakukan dalam pelancaran sesebuah single tempatan.

    Tomok, atau nama sebenarnya Shah Indrawan, memulakan kerjaya seni seawal usia 15 tahun bersama kumpulan New Boyz sekitar tahun 1999 sebelum terus mencipta nama sebagai artis solo. Kemenangannya dalam program realiti One In A Million menjadi titik penting yang mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura berpengaruh dalam industri muzik Malaysia. Sepanjang kerjayanya, beliau konsisten menghasilkan karya berkualiti, termasuk kolaborasi bersama Siti Nordiana menerusi lagu “Memori Mungkin Berulang” serta “Gelora Jiwa Meronta Asmara”, yang menerima sambutan positif daripada peminat.

    Selain aktif sebagai penyanyi, Tomok juga berjaya mengembangkan kerjaya sebagai komposer dan usahawan seni melalui penubuhan Popsicle Records pada tahun 2018. Syarikat ini telah menganjurkan pelbagai konsert di dalam dan luar negara serta menerbitkan karya muzik untuk beberapa artis terkenal, termasuk sebuah lagu dalam album Siti Nurhaliza. Single “Buah Hati” diterbitkan oleh Popsicle Records dan diedarkan secara digital di bawah label Luncai Emas, yang turut mentadbir hak cipta lagu dan lirik, selaras dengan status Tomok sebagai komposer eksklusif di bawah label tersebut. Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala video lirik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Popsicle Records.

  • Tomok dan Siti Nordiana Bersatu Dalam Konsert Memori Mungkin Berulang!

    Tomok dan Siti Nordiana Bersatu Dalam Konsert Memori Mungkin Berulang!

    Konsert Memori Mungkin Berulang akan mempersembahkan dua bintang popular tanah air, Tomok dan Siti Nordiana, yang akan bersama-sama di atas pentas untuk menyanyikan lagu-lagu hit mereka yang telah mewarnai industri muzik Malaysia selama lebih 20 tahun. Acara ini bakal berlangsung pada 1 Februari 2025, bertempat di Zepp Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam.

    Tomok, yang juga merupakan penganjur konsert ini melalui syarikat rakamannya, POPSICLE RECORDS, meluahkan rasa teruja kerana ini adalah kali pertama beliau berganding bahu dengan Siti Nordiana dalam sebuah konsert. Mereka berdua, yang sudah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah pada era 90-an, bersepakat untuk menggamit kenangan manis zaman awal kerjaya nyanyian mereka.

    Tomok berkongsi bahawa konsert ini akan dipenuhi dengan kejutan dan pelbagai persembahan menarik, terutamanya dengan lagu-lagu hits mereka yang popular. “Sepanjang perjalanan kerjaya kami, ini adalah pertama kali kami berkolaborasi atas permintaan penyokong dan peminat kami. Konsert ini akan mengimbau kenangan, terutamanya lagu-lagu ikonik seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih, dan Gurauan Berkasih. Saya juga akan menyanyikan lagu duet Nana bersama Allahyarham Achik sebagai penghormatan. Saya yakin peminat kami pasti menantikan persembahan yang akan kami bawakan,” ujar Tomok penuh semangat.

    Tomok dan Siti Nordiana

    Siti Nordiana, atau lebih mesra dipanggil Nana, turut berkongsi kegembiraan apabila menerima pelawaan Tomok untuk bersama-sama menjayakan konsert ini. Menurut Nana, ini adalah satu peluang yang sangat berharga kerana ia adalah hadiah istimewa buat peminat yang terus setia menyokong mereka sejak awal 2000-an. “Lagu Memori Mungkin Berulang sangat dekat di hati saya dan Tomok, dan kami tidak sangka ia diterima dengan begitu baik oleh peminat, terutamanya generasi muda. Saya amat bersyukur kerana lagu ini membawa satu fenomena baru dalam industri muzik,” kata Nana dengan penuh teruja.

    Konsert ini bukan sahaja akan mempersembahkan lagu-lagu hit mereka, tetapi juga memberi peluang kepada peminat untuk merasai semula nostalgia zaman kegemilangan mereka. Tiket untuk konsert Memori Mungkin Berulang telah mula dijual sejak 28 Oktober 2024 dengan harga yang berpatutan iaitu RM98, RM198, RM298, RM398, RM498, dan VIP BOX berharga RM5000. Tiket boleh dibeli melalui platform dalam talian Ticket2u, yang telah dilantik sebagai agensi penjualan rasmi. Sehingga kini, hampir 50% tiket telah terjual dan dijangka tiket akan habis dalam masa sebulan lagi.

    Selain itu, Tomok mengajak mana-mana syarikat yang berminat untuk bekerjasama atau menaja konsert ini agar sama-sama menjayakan acara yang penuh bersejarah ini. “Dengan penganjuran konsert ini di bawah POPSICLE RECORDS, saya amat mengalu-alukan peluang kolaborasi dengan syarikat-syarikat yang mahu bersama-sama menjayakan konsert ini. Kami ingin memberikan persembahan yang terbaik dan memastikan peminat Tomok serta Siti Nordiana dapat mengubat kerinduan mereka dengan lagu-lagu klasik dan yang terkini,” kata Tomok lagi.

    Dengan penganjuran konsert ini, diharapkan ia dapat memberikan pengalaman yang luar biasa kepada para peminat dan terus memeriahkan industri muzik Malaysia, selain memperkukuh hubungan antara Tomok, Siti Nordiana, dan penyokong setia mereka.

  • KONSERT MEMORI MUNGKIN BERULANG SATUKAN TOMOK DAN SITI NORDIANA

    KONSERT MEMORI MUNGKIN BERULANG SATUKAN TOMOK DAN SITI NORDIANA

    Penyanyi ikonik tanah air, Tomok dan Siti Nordiana, akan berkongsi pentas buat pertama kali dalam Konsert Memori Mungkin Berulang di Zepp Kuala Lumpur. Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2025 ini menjadi momen bersejarah apabila dua nama besar dalam industri muzik tanah air bersatu demi menghiburkan peminat setia mereka.

    Tomok, yang merupakan penganjur konsert Memori Mungkin Berulang ini melalui syarikatnya, POPSICLE RECORDS, meluahkan rasa terujanya atas peluang ini. “Ini adalah kali pertama saya dan Nana (Siti Nordiana) bergabung untuk membawa kembali kenangan lagu-lagu popular kami. Ia istimewa bagi saya, lebih-lebih lagi kami berdua telah berjuang dalam industri muzik sejak di bangku sekolah.”

    Dalam konsert ini, para peminat bakal disajikan dengan pelbagai kejutan, termasuk lagu-lagu hit mereka sepanjang dua dekad berkarier. Tomok dan Nana akan menyanyikan lagu-lagu ikonik yang telah meninggalkan kesan mendalam, seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih, dan Gurauan Berkasih yang amat dinantikan.

    memori mungkin berulang

    “Selain itu, kami juga akan mempersembahkan lagu-lagu duet Nana bersama Allahyarham Achik, yang akan dinyanyikan oleh saya sendiri,” tambah Tomok. “Harga tiket juga amat berpatutan, dan saya yakin semua peminat kami mampu memilikinya. Kami akan memberikan persembahan terbaik yang pasti tidak mengecewakan.”

    Siti Nordiana, pula meluahkan rasa syukurnya kerana berpeluang bergandingan dengan Tomok dalam konsert ini. “Ini adalah peluang terbaik buat peminat kami yang sentiasa menyokong dari awal 2000-an hingga ke hari ini. Lagu Memori Mungkin Berulang dipilih sebagai tunjang utama konsert ini kerana ia sangat sinonim dengan kami berdua. Ia bukan sahaja popular di kalangan peminat lama, malah mendapat sambutan luar jangka dari generasi muda hari ini.”

    Menurut Nana, lagu duetnya bersama Tomok telah mencetuskan fenomena baru dalam industri muzik tempatan. “Saya tidak menyangka lagu ini diterima baik oleh generasi muda, terutama generasi Z. Ini adalah peluang untuk mereka menikmati lagu-lagu ikonik kami secara langsung.”

    Tiket bagi Konsert Memori Mungkin Berulang akan mula dijual pada 28 Oktober 2024. Harga tiket adalah seperti berikut:
    – RM98
    – RM198
    – RM298
    – RM398
    – RM498
    – VIP BOX: RM5000

    Tiket boleh dibeli menerusi platform dalam talian Ticket2u. Konsert ini dijangka mencatatkan sambutan hangat, dengan peminat dari pelbagai generasi bersiap sedia untuk menikmati malam penuh nostalgia bersama Tomok dan Siti Nordiana.

  • Persembahan Duo Tomok dan Sharul Kamal di FAMILI DUO 4 Raih Standing Ovation!

    Persembahan Duo Tomok dan Sharul Kamal di FAMILI DUO 4 Raih Standing Ovation!

    Juri terkejut, penonton bersorak! Standing ovation dan markah penuh 10 dari kedua-dua juri! Mampukah duo sepupu, Tomok dan Sharul Kamal, yang telah menggemparkan pentas FAMILI DUO 4, untuk tampil berani sekali lagi?

    Apa yang akan berlaku apabila dua bintang dengan sejarah yang hebat dalam industri muzik bergabung di pentas FAMILI DUO? Tomok dan sepupunya, Sharul Kamal, telah mencipta sensasi yang luar biasa! Persembahan menakjubkan mereka melalui lagu “Aku Penghiburmu” dan “Gerhana,” yang asalnya dinyanyikan oleh Jamal Abdillah dan M.Nasir, telah berjaya memikat hati juri serta penonton, membawa pulang kemenangan dengan markah sempurna 10 dan hadiah mingguan sebanyak RM10,000! Mereka juga telah meraih standing ovation daripada juri tetap, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor. Kini, persoalannya, adakah mereka mampu mengulangi keajaiban ini pada minggu depan dan seterusnya?

    Minggu ini, Tomok dan Sharul tampil dengan semangat yang tinggi dengan mengambil risiko besar melalui tema seram yang menggabungkan vokal yang memukau serta koreografi yang menakjubkan. Siapa sangka, tarian bertenaga ala rumah hantu yang dipersembahkan membawa kepada pujian positif daripada juri, yang menyatakan bahawa Tomok dan Sharul Kamal telah berjaya memberikan penghayatan mendalam terhadap lirik dan menghidupkan karakter lagu dengan begitu baik. Menggabungkan vokal padu sambil menari dengan penuh keyakinan adalah cabaran besar, tetapi mereka berjaya mengatasinya dengan cemerlang, meraih markah sempurna 10 dari kedua-dua juri dan undian tertinggi sebanyak 64.5%.

    “Kami tidak menyangka akan mendapat standing ovation! Kegembiraan ini memang tak dijangka, tetapi ia datang dengan tanggungjawab yang besar. Tekanan semakin terasa kerana juri dan penonton pastinya ingin melihat sesuatu yang lebih gempak dan luar biasa dari kami setiap minggu,” kata Tomok. “Kami perlu mencari idea baru dan tampil lebih hebat lagi!” tambah Sharul Kamal.

    Namun, persaingan sengit tidak boleh dipandang ringan, terutama dari Naqiu dan Joey! Pasangan sepupu ini telah mencuri perhatian ramai dengan kemunculan Joey di pentas setelah hampir 25 tahun tidak menyanyi. Keserasian mereka di atas pentas, digabungkan dengan vokal bertenaga Joey dan karisma Naqiu, telah memukau penonton dan juri. Walaupun berdepan dengan kritikan awal, Naqiu dan Joey telah membuktikan bahawa mereka adalah kekuatan yang perlu dipertimbangkan.

    Walaupun berada di tempat kedua dengan markah 59.0%, Naqiu mengakui, “Kami tidak meletakkan harapan besar pada minggu pertama. Dapat mengelirukan tentang pasangan yang akan berduo dengan saya pun sudah kira satu kejayaan. Saya dan Tomok telah berjuang bersama sejak kecil, jadi sudah tentu saya gembira dengan setiap persembahan dan peluang untuk berada di atas pentas yang sama.”

    Manakala Joey, yang akhirnya dipujuk oleh Naqiu untuk berduo, melahirkan semangat tinggi, “Walaupun ada masalah tonsil, saya tetap sahut cabaran ini. Umur pun dah macam pokok, apa salahnya mencuba dan membuat come back lagi. Saya anggap pentas ini sebagai tempat untuk orang mengenali asal usul saya. Setiap orang perlu establishment!”

    Kini, Tomok dan Sharul berdepan cabaran besar untuk mengulangi prestasi hebat mereka. Mereka tampil lebih berani dengan memilih tema Irama Malaysia dan Tradisional sebagai cabaran untuk minggu kedua. Adakah duo lain seperti Naqiu dan Joey mampu mengubah rentak dan merampas kedudukan teratas? Atau akan standing ovation sekali lagi menjadi milik Tomok dan Sharul?

    Berikut adalah senarai kedudukan persembahan di minggu pertama #FamiliDuo2024:
    1. Tomok & Sharul Kamal (sepupu) – 64.5%
    2. Naqiu & Joey (sepupu) – 59.0%
    3. Ayie Elham & Salma Asis (sepupu) – 48.3%
    4. Shiha Zikir & Ieda Zikir (adik-beradik) – 46.9%
    5. Zahid & Anne (adik-beradik) – 35.8%
    6. Didi Astillah & Thamiera (sepupu) – 31.5%

    FAMILI DUO 4 musim ini dibawakan khas oleh Perfume Paradise sebagai penaja utama dan Marigold HL sebagai rakan penaja. Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan! dan XTRA sebagai Famili Digital.

    Minggu hadapan pasti akan lebih hangat dengan strategi undian dari penonton. Undi dan Menang! Gunakan kod promo FAMILIDUO2024 untuk mendapatkan undian tambahan dan beri sokongan kepada duo kegemaran anda! Jangan lupa, hadiah mingguan berupa dua Samsung Smart TV 65′ menanti anda yang bertuah! Duo juara mingguan akan membawa pulang hadiah berjumlah RM10,000 pada tujuh episod pertama, manakala finalis di pentas akhir FAMILI DUO berpeluang merebut hadiah wang utama sebanyak RM100,000!

    Pemenang mingguan akan ditentukan dari penilaian juri iaitu 70%, dan penonton juga berpeluang mempengaruhi keputusan dengan undian atas talian melalui Tonton, yang menyumbang sebanyak 30%. Pengguna Tonton yang berdaftar layak untuk mengundi duo kegemaran mereka sebanyak 50 undi seminggu, manakala semua pelanggan TontonUp tanpa mengira pelan 1 bulan, 3 bulan, atau 12 bulan, berpeluang untuk menerima 100 undian tambahan setiap minggu.

    Ini bermakna, penonton akan mendapat 150 jumlah undian dalam seminggu. Semakin banyak anda mengundi, semakin besar peluang duo pilihan anda untuk menang! Gunakan kod promo FAMILIDUO2024 untuk menikmati potongan istimewa RM8 daripada harga asal RM28. Pelanggan hanya perlu membayar RM20 bagi langganan 3 bulan, sambil memberi sokongan padu kepada duo pilihan anda.

    Lebih menarik, dua pelanggan berbayar juga berpeluang memenangi dua (2) buah Samsung Smart TV 65′ setiap minggu dengan hanya meneka Duo Terbaik Mingguan! Tawaran ini khas untuk pelanggan TontonUp pelan 3 bulan dan ke atas.

    Kongsikan pengalaman anda, gunakan hashtag rasmi #FamiliDuo dan #BerduoLebihBaik untuk berkongsi tekaan dan memeriahkan perbualan di laman sosial media. Jadi, tunggu apa lagi? Pastikan anda tidak ketinggalan mengikuti persaingan sengit ini serta sokong dan undi duo selebriti kegemaran anda di pentas persembahan FAMILI DUO nanti!

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, jangan lupa ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, dan Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.