SHAFFIQ ERWIN – JANJIR
3 min read
Kembalinya Shaffiq Erwin ke Dunia Nyanyian dengan “Janjir”
Shaffiq Erwin, yang lebih dikenali sebagai seorang guru vokal berpengalaman dan penyanyi sejak tahun 2012, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single terbaharunya berjudul “Janjir”. Selepas beberapa tahun menyepi daripada dunia nyanyian, Shaffiq—atau lebih mesra disapa Apit—kembali mencabar diri melalui pentas program realiti TV3, Famili Duo. Penyertaannya bersama penyanyi terkenal Ara Johari dalam Famili Duo Season 1 pada tahun 2020 bukan sahaja membuka lembaran baharu, malah membawa mereka muncul sebagai juara episod Saudara. Kejayaan itu terus menyemarakkan semangatnya apabila duo tersebut sekali lagi menyerlah dalam Famili Duo Season 2 pada 2023, mara hingga ke peringkat separuh akhir.
Kini, Shaffiq tampil dengan penuh yakin menerusi “Janjir”, sebuah karya yang memperlihatkan keberaniannya bereksperimen dengan genre Rockdut, gabungan unik antara rock dan dangdut. Lagu ini bukan sekadar percubaan muzik baharu, tetapi juga menunjukkan kematangannya dalam berkarya. Di bawah naungan Sevoce Studio dan edaran Universal Music, “Janjir” merupakan ciptaan dan terbitan bersama Rudy Nastia, Aizad Khan serta Shaffiq sendiri. Dengan lirik yang dekat di hati, lagu ini membawa kisah tentang pasangan yang pernah berjanji untuk setia, namun akhirnya salah seorang memungkiri janji dan kembali hanya apabila kesusahan melanda.
Muzik video “Janjir” turut memberi impak visual yang segar dengan tema merah jambu dan putih, menampilkan kolaborasi bersama Kunafa Aiwah, Anas Lips Serum dan Heetam Puteh. Sentuhan suntingan oleh Shiha Zikir Empire menambahkan lagi kekuatan visual karya ini. “Janjir” boleh didengari di YouTube dan semua platform digital mulai 12 November 2025. Shaffiq berharap karya terbaharunya ini terus menerima sokongan daripada rakan media dan para pendengar, sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya.