MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

Stacy Kembali! “Mega Ching!” Hadir Dengan Letupan Baharu Muzik Elektro Dance!

4 min read
Rentak Baharu, Sikap Baharu — Mega Ching! Tunjuk Sisi Stacy Yang Lebih Berani.

Rentak Baharu, Sikap Baharu — Mega Ching! Tunjuk Sisi Stacy Yang Lebih Berani.

Ratu tari negara, Stacy kembali menyerikan industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Mega Ching!”, sebuah karya yang menggabungkan elemen muzik dance kontemporari dengan identiti unik yang menjadi tanda penjenamaannya sejak awal kerjaya. Dicipta sepenuhnya oleh Stacy di bawah nama pena Bunga Cantik, lagu ini menjadi simbol ekspresi diri, keyakinan serta jiwa penghiburnya yang cukup sinonim dengan penyanyi kelahiran Sabah tersebut. “Mega Ching!” juga menandakan kemunculan semula Stacy dengan gaya muzik yang telah lama dirindui peminat setianya. Menurut Stacy, inspirasi utama lagu ini lahir daripada personaliti dan gaya dirinya sendiri, terutamanya ketika berada di atas pentas mengimbangi nyanyian dan tarian. Istilah “mega ching” membawa makna yang dekat dengan karakter yang pernah dibawanya dahulu — reaksi spontan yang mencerminkan cara dirinya mengatasi rasa gementar sambil mengekalkan disiplin persembahan. Bagi Stacy, lagu ini juga menjadi jambatan untuk mengekspresikan emosi dan mengingatkan dirinya untuk tidak terperangkap dalam perasaan negatif, sebaliknya terus ‘move on’ dan memperkuat mental dalam kerjaya seni yang mencabar.

Proses pembikinan “Mega Ching!” melalui perjalanan panjang dan teliti, termasuk beberapa kali perubahan melodi sepanjang lima bulan rakaman. Stacy turut bereksperimen dengan susunan muzik berasaskan EDM berinspirasikan K-pop, digabungkan bersama melodi dan lirik yang masih mengekalkan karakter dirinya. Buat kali pertama, Stacy turut menyelitkan elemen rap dengan dialek Sabah, menjadikan lagu ini antara karya paling segar dan berbeza dalam katalog muziknya. Dari segi identiti, “Mega Ching!” hadir dengan vibe yang fun, energetik dan menjadi booster keyakinan, membawa mesej ‘Bring it on!’ — seruan untuk terus melangkah maju, berani berdepan cabaran dan percaya pada kelebihan diri. Maklum balas awal daripada pasukan produksi serta rakan-rakan menunjukkan penerimaan yang sangat positif, dengan ramai menyatakan bahawa “Stacy is back!” selepas sekian lama tidak mendengar genre yang begitu sinonim dengannya.

Stacy turut mengesahkan bahawa “Mega Ching!” merupakan sebahagian daripada projek album baharu yang sedang dalam proses rakaman, menandakan fasa baharu perjalanan muziknya selepas kejayaan konsert “Aku Stacy”. Bagi peminat yang menantikan visual rasmi, Stacy hanya memberi bayangan awal — “Surprise!”. Single “Mega Ching!” terbitan Nova Music Malaysia boleh distrim di semua platform mulai 28 November 2025, manakala video lirik rasmi akan ditayangkan pada hari yang sama di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment pada jam 8 malam.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.