Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. meneruskan usaha memperkasa pembangunan bakat muda Malaysia menerusi program Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026 yang menghubungkan mahasiswa dengan pengalaman sebenar dalam industri makanan dan bakeri.
Program tersebut menjadi bukti komitmen Gardenia dalam menyokong pendidikan berasaskan industri dengan menyediakan peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan kemahiran profesional, kreativiti serta pemikiran strategik dalam pembangunan produk.

Bersempena Majlis Penutup Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026, Gardenia bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama antara sektor industri dan institusi pendidikan tinggi.
Kerjasama ini memberi fokus kepada pembangunan graduan yang lebih bersedia menghadapi perubahan dalam dunia pekerjaan, khususnya dalam sektor makanan yang semakin berkembang dan memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Melalui program ini, mahasiswa berpeluang mengenali proses lengkap pembangunan sesuatu produk bermula daripada penyelidikan pasaran, penciptaan idea, inovasi produk, pembangunan identiti jenama sehingga kepada strategi pemasaran.
Pengurus Kanan Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Puan Ena Suhaila Abas berkata, generasi muda perlu diberikan peluang untuk meneroka pengalaman industri supaya mereka mampu membina keyakinan dan kemahiran yang lebih kukuh.
Menurut beliau, Gardenia melihat mahasiswa bukan sekadar sebagai pelajar, tetapi sebagai pencetus idea baharu yang mampu menyumbang kepada perkembangan industri makanan pada masa hadapan.
“Program seperti ini memberi ruang kepada pelajar untuk memahami bagaimana sesuatu produk dibangunkan daripada sebuah idea sehingga menjadi produk yang boleh diterima oleh pengguna. Kami berharap pengalaman ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk terus mencipta dan berinovasi,” katanya.
Sementara itu, Prof. Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Selangor berkata, kerjasama bersama Gardenia memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran mahasiswa.
Beliau berkata, pendedahan secara langsung terhadap cabaran industri membolehkan mahasiswa meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah, komunikasi serta keupayaan membuat keputusan dalam situasi sebenar.
Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026 melibatkan penyertaan daripada 22 kampus UiTM di seluruh Semenanjung Malaysia dengan seramai 110 mahasiswa mengambil bahagian bersama pensyarah mentor masing-masing.
Setiap kumpulan diberikan cabaran untuk mencipta inovasi produk menggunakan rangkaian Gardenia Ready-to-Eat (RTE) seperti QuickBites, PUAZZ!, Toast’em Waffles, Squiggles dan Twiggies.
Peserta perlu menghasilkan konsep produk baharu yang mempunyai nilai komersial serta membangunkan strategi jenama lengkap bagi memastikan produk tersebut mampu menarik perhatian pengguna.
Dalam fasa pertama pertandingan, peserta membangunkan tiga konsep produk inovatif dan menghasilkan pembentangan menerusi video. Lima kumpulan terbaik kemudiannya mara ke peringkat akhir untuk membentangkan cadangan strategi jenama mereka di hadapan panel penilai.
Pasukan Munchz Grab & Bites Delight dari UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub berjaya mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan. Pasukan tersebut menerima hadiah wang tunai RM5,000 serta tawaran latihan industri bersama Gardenia.
Tempat kedua dimenangi oleh pasukan Kaya Cakoi Bites dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah yang membawa pulang RM3,000, manakala pasukan Dip N Bite dari UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu memperoleh tempat ketiga dengan hadiah RM1,500.
Hadiah sagu hati turut diberikan kepada pasukan Mochi Roti Bites dari UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang dan GD Burger dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban. Selain itu, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub turut menerima Anugerah Pembentangan Terbaik.
Bagi wakil pasukan juara, pengalaman menyertai Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026 memberi peluang kepada mereka memahami cabaran sebenar dalam menghasilkan produk yang bukan sahaja kreatif tetapi mempunyai potensi untuk dikomersialkan.
Selain aktiviti pembangunan produk, UiTM turut melaksanakan kajian berkaitan tabiat pemakanan mahasiswa yang melibatkan lebih 2,200 responden daripada 22 kampus yang menyertai program tersebut.
Kajian berkenaan bertujuan memahami corak pemakanan dalam kalangan mahasiswa serta kaitannya dengan prestasi akademik dan kesejahteraan mental. Hasil kajian dijangka menjadi rujukan dalam memahami keperluan pengguna muda serta membantu pembangunan produk yang lebih relevan.
Dalam usaha mendekati mahasiswa secara lebih dekat, Gardenia turut mengadakan Siri Jelajah Kampus di semua kampus yang terlibat. Program ini memberi peluang kepada mahasiswa mengenali jenama Gardenia dengan lebih dekat menerusi sesi interaksi, aktiviti menarik serta pengenalan produk Ready-to-Eat (RTE).
Sepanjang siri jelajah tersebut, lebih 11,000 pek produk RTE telah diagihkan kepada mahasiswa sebagai sebahagian daripada usaha Gardenia memperkukuhkan hubungan bersama generasi muda.
Melalui kerjasama bersama UiTM ini, Gardenia terus memainkan peranan dalam membina jambatan antara industri dan pendidikan tinggi, sekali gus membantu melahirkan graduan yang lebih kreatif, berkemahiran serta bersedia menyumbang kepada masa depan industri makanan Malaysia.
